Azizulhasni, Bonnie rangkul Anugerah 100Plus Perpaduan SAM

Azizulhasni (kiri) dan Bonnie masing-masing dinobat sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik pada Anugerah 100Plus Perpaduan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2020/2021. - Foto Bernama
Azizulhasni (kiri) dan Bonnie masing-masing dinobat sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik pada Anugerah 100Plus Perpaduan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2020/2021. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin masing-masing dinobat sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik pada Anugerah 100Plus Perpaduan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2020/2021.

Pencapaian terbaik pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu sehingga dianugerahkan gelaran berkenaan termasuk mencipta sensasi meraih pingat perak acara keirin pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun lepas.

Selain pingat perak Sukan Olimpik Tokyo, Mohd Azizulhasni turut mencipta kejayaan meraih dua pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Berlin 2020, masing-masing dalam acara keirin dan pecut.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SAM kerana memilih saya sekali lagi sebagai atlet terbaik pada tahun ini.

"Sudah tentu saya akan jadikan anugerah ini sebagai pemangkin semangat dalam proses pemulihan saya selain berusaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, Paris. The pocket rocket man will comeback,” kata Mohd Azizulhasni yang kini berada di Melbourne, Australia menerusi rakaman video.

Ini adalah kejayaan keempat Mohd Azizulhasni dinobatkan Anugerah Atlet Terbaik selepas memenanginya pada 2009, 2017 dan 2019.

Atlet berusia 34 tahun itu mengatasi empat lagi calon iaitu Datuk Pandelela Rinong (terjun), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton) dan Rifdean Masdor (muay thai).

Ketika ini, Mohd Azizulhasni berehat panjang daripada dunia sukan berbasikal selepas menjalani pembedahan jantung pada April lepas, ekoran masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kemenangan Bonnie pada edisi kali ini mengulangi pencapaiannya meraih gelaran sama pada Anugerah SAM edisi 2019.

Antara pencapaian cemerlang Bonnie pada 2021 termasuk memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2020 Tokyo selain mencipta rekod baharu pada temasya tersebut.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 23 tahun itu mengatasi tiga lagi pencabar yang disenarai pendek Latif Romly (lompat jauh), Cheah Liek Hou (badminton) dan Chew Wei Lun (boccia).

Azizulhasni dan Bonnie masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang sepanjang 2020 dan 2021, wartawan sukan turut menerima pengiktirafan sekali gus memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM109,000 pada majlis Anugerah 100PLUS Perpaduan itu.

Secara keseluruhan, hampir 200 penyertaan diterima bagi 17 anugerah kewartawanan melibatkan lapan kategori masing-masing bagi tahun 2020 dan 2021, serta satu penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Siebel, yang menawarkan hadiah wang tunai RM7,000.

Pada majlis tersebut wartawan penyiaran TV3, Al Shaiful Nazib Talib muncul selaku pemenang Anugerah Siebel. - Bernama