Sukma 2028: Kelantan cari atlet terbaik

Wan Roslan (kiri) bersama urusetia Pertandingan Mr Awang Selamat Kelantan 2023.
Wan Roslan (kiri) bersama urusetia Pertandingan Mr Awang Selamat Kelantan 2023.
A
A
A

KERAJAAN Kelantan sudah melancarkan pelan pembangunan atlet dan infrastruktur sebagai persediaan untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2028.

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pelan berkenaan sudah dikemukakan kepada persatuan yang terlibat dan mereka juga sedang membuat persiapan ke arah itu.

Menurut beliau, kerajaan turut bekerjasama dengan pengurus beberapa persatuan berkaitan sukan serta pihak yang terlibat Sukma bagi mencari atlet terbaik.

"Kita nampak ada kemajuan, contohnya pasukan menembak dan olah raga yang sudah mempunyai jurulatih baharu," katanya selepas Sidang Akhbar Mr Awang Selamat Kelantan 2023 di sini pada Ahad.

Beliau turut memberitahu, persatuan badminton juga sudah memulakan pertandingan untuk mencari atlet terbaik.

"Sempena Sukma, kita bahagikan kepada tiga peringkat iaitu pengenalan, bakat dan imtiaz.

"Atlet baharu akan dilatih bagi mencari bakat yang boleh diketengahkan sebelum menjalani lebih banyak latihan ke arah imtiaz," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor itu turut memaklumkan kerajaan negeri kini sedang berusaha untuk membaiki ‘scoreboard’ di Stadium Sultan Muhammad IV yang mengalami kerosakan.

Jelas beliau, beberapa kemudahan lain di stadium itu juga disenaraikan untuk dibaikpulih.

"Kesemua itu perlu siap menjelang tahun 2024 bagi memenuhi syarat ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri sedang berbincang dengan Perbadanan Stadium Negeri (PSN) mengenai perkara yang perlu dilakukan.

"Semua kemudahan itu memang memerlukan kos pembaikan yang tinggi tetapi kita akan usahakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pertandingan bina badan patuh syariah, Mr Awang Selamat akan berlangsung pada 16 hingga 18 Jun ini Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan.

Pertandingan turut menampilkan ahli bina badan profesional selain menerima peserta baharu dan amatur.

Katanya, kesemua peserta perlu menutup aurat seperti yang disyariatkan dalam Islam.

"Orang ramai yang berminat juga boleh mengambil bahagian dan kemenangan berdasarkan pilihan juri yang pernah mengadili pertandingan di peringkat dunia," katanya.

Tambah beliau, hadiah tertinggi yang ditawarkan ialah RM1,000 bersama medal dan keris.

"Tarikh tutup penyertaan ialah pada hari pertandingan dan sehingga kini lebih 40 peserta mengambil bahagian yang kebanyakannya melibatkan jabatan dan agensi kerajaan," katanya.