Anugerah Atlet Terbaik SAM milik Azizulhasni atau Zii Jia?

Gambar dari kiri: Azizulhasni Awang, Lee Zii Jia - FOTO: AFP
Gambar dari kiri: Azizulhasni Awang, Lee Zii Jia - FOTO: AFP
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pemain badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dilihat pilihan popular meraih Anugerah Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Perpaduan 100Plus Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 2020/2021 yang akan berlangsung pada Rabu ini.

Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap berkata, edisi majlis anugerah kali ini sedikit berbeza kerana buat julung kalinya menggabungkan dua edisi bagi 2020 dan 2021 selepas penganjurannya ditunda setahun akibat pandemik Covid-19 serta penambahan dua kategori baharu di bawah Anugerah Perpaduan Terbaik bagi merancakkan lagi penganugerahannya.

"Tarikan lain dalam Anugerah SAM kali ini ialah hadiah wang tunai yang paling besar ditawarkan dalam sejarah penganjurannya sejak 1985 iaitu RM109,000 yang menanti para pemenang.

"Hampir 200 penyertaan diterima bagi anugerah kali ini dengan 17 anugerah kewartawanan bakal diberikan iaitu enam kategori masing-masing bagi tahun 2020 dan 2021 serta satu penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Siebel,” katanya.

Untuk rekod, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker dijangka hadir pada majlis berkenaan.

Jaguh keirin berusia 34 tahun yang terkenal dengan julukan 'The Pocket Rocketman' dilihat memburu gelaran Atlet Terbaik buat kali keempat selepas memenanginya pada 2009, 2017 dan 2019 sekali gus menjadi penerima tertinggi dalam senarai Atlet Terbaik anugerah berprestij ini.

Pelumba kelahiran dari Dungun, Terengganu terus mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih pingat perak di temasya Sukan Olimpik Tokyo dalam acara kegemarannya iaitu keirin, sekali gus memperbaiki pencapaian pingat gangsa dimenanginya pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Mohd Azizulhasni bakal dicabar pemain badminton perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia yang turut melakar sejarah tersendiri pada 2021.

Artikel Berkaitan:

Nama pemain perseorangan lelaki utama negara itu 'meledak' di bumi Birmingham apabila menewaskan pemain handalan Denmark, Viktor Axelsen pada aksi final Kejohanan Badminton Seluruh England.

Pemain berusia 24 tahun itu menampilkan persembahan bertenaga apabila melakar kemenangan 30-29, 20-22, 21-9 dalam tempoh lebih sejam sebelum mengesahkan gelaran juara.

Dengan kejayaan tersebut, Zii Jia telah mengakhiri penantian Malaysia selama tiga tahun untuk menyaksikan pemain negara menjuarai Seluruh England selepas kali terakhir pemain Malaysia menawan bumi Birmingham menerusi legenda negara, Datuk Lee Chong Wei yang menjuarai edisi 2017.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu turut membantu skuad badminton lelaki negara muncul naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2020 selepas tewas kepada Indonesia 1-3 di Manila.

Selain itu, pemain negara yang bergelar profesional itu turut membantu skuad negara meraih tempat ketiga apabila menyumbang satu mata dalam saingan Piala Sudirman 2021 apabila tewas 1-3 kepada Jepun di separuh akhir di Vantaa, Finland.

Perebutan bagi Anugerah Atlet Terbaik untuk Majlis Anugerah Perpaduan 100Plus SAM 2020/2021 edisi ini turut menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan atlet kebangsaan lain yang turut mengintai peluang termasuk pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Datuk Pandelela Rinong Pamg (terjun) dan Rifdean Masdor (muay thai).

Sementara itu, Bonnie Bunyau Gustin yang dinobatkan sebagai Atlet Para Terbaik 2019 berada dalam radar untuk memburu kemenangan berganda pada anugerah yang akan diadakan secara gilang gemilang ini.

Atlet powerlifting yang berasal dari Serian, Sarawak itu mencipta sensasi tersendiri apabila menyumbang pingat emas pertama kontinjen negara di temasya Sukan Paralimpik Tokyo dalam kategori 72 kilogram (kg).

Lebih mengagumkan, atlet berusia 23 tahun itu turut memecahkan rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227kg, dengan melakukan angkatan 228kg dalam percubaan ketiganya.

'Badang kerdil negara' itu terus mengukir nama Malaysia di mata dunia dengan menampilkan prestasi luar biasa apabila memecahkan rekod dunia pada kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai Ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekali gus merangkul pingat emas acara berkenaan.

Kejayaan Bonnie Bunyau melakukan angkatan bebanan seberat 230kg dalam kategori lelaki atas 72kg itu telah memadamkan rekod dipegang atlet Iran Roohallah Rostami yang melakukan angkatan seberat 229kg di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.

Kemunculan Bonnie Bunyau di pentas pertandingan tidak pernah mengecewakan apabila meraih pingat emas di Piala Dunia Powerlifting Para di Bangkok selain turut menjuarai Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia.

Turut tersenarai dalam merebut gelaran Atlet Terbaik Para adalah tiga lagi atlet para negara yang cemerlang dalam sukan masing-masing iaitu pemenang pingat emas acara badminton Sukan Paralimpik Tokyo Cheah Liek Hou yang merupakan pencabar terdekat Bonnie Bunyau, diikuti Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh) dan Chew Wei Lun (boccia).

Pemenang untuk kedua-dua anugerah ini akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang, warga media sukan juga berpeluang memenangi hadiah melalui enam kategori anugerah kewartawanan yang dipertandingkan iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Dua anugerah baharu turut diperkenalkan pada tahun ini iaitu Anugerah Laporan Perpaduan Terbaik dan Fotografi Perpaduan Terbaik.

Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai pemenang trofi Anugerah Siebel dan hadiah RM7,000.

SENARAI ATLET TERBAIK SAM:

1995: Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (Badminton)

1996: Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (Badminton)

1997: Nurul Huda Baharin (Menembak)

1998: Lim Keng Liat (Renang)

1999-2001: Tiada Anugerah

2002: Lim Keng Liat (Renang)

2003: Lim Keng Liat (Renang)

2004: Bryan Nickson Lomas (Terjun)

2005: Nicol Ann David (Skuasy)

2006: Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (Badminton)

2007: Wong Mew Choo (Badminton)

2008: Lee Chong Wei (Badminton)

2009: Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

2010: Pandelela Rinong Pamg (Terjun)

2011: Nur Suryani Taibi (Menembak)

2012: Pandelela Rinong Pamg (Terjun)

2013: Sazali Samad (Bina Badan)

2014: Nicol Ann David (Skuasy)

2015: Pandelela Rinong Pamg (Terjun)

2016: Lee Chong Wei (Badminton)

2017: Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

2018: Muhammad Rafiq Ismail (Boling)

2019: Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

ATLET PARA TERBAIK SAM:

2016: Mohamad Ridzuan Mohd Puzi (Olahraga)

2017: Muhammad Ziyad Zolkefli (Olahraga)

2018: Mohamad Ridzuan Mohd Puzi (Olahraga)

2019: Bonnie Bunyau Gustin (Powerlifting)