Pusat SDG negara untuk perkasa program, pantau kemajuan: PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara akan ditubuhkan bagi memperkasa dan mempergiat program serta memantau kemajuan SDG negara kata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, penubuhan Pusat SDG Negara di bawah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis SDG Negara yang beliau pengerusikan pada Isnin.

"Agenda pembangunan mampan ini memerlukan penglibatan dan usaha gigih yang menyeluruh serta inklusif daripada semua pihak agar tahap kesedaran seluruh Keluarga Malaysia di peringkat akar umbi dan syarikat-syarikat swasta dipertingkatkan,” kata beliau dalam kenyataan, pada Selasa.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR) di peringkat bandaran dan daerah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta kerajaan-kerajaan negeri dengan sekurang-kurangnya satu laporan akan dihasilkan oleh setiap negeri.

Beliau berkata, setiap negeri digalakkan menyediakan laporan tersebut sebagai panduan dalam memantau kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan pembangunan negara bagi mengimbangi aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi. - Bernama

Selain itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga diminta agar segera memuktamadkan rangka kerja pasaran karbon pada hujung tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.

Pada Isnin, Ismail Sabri mempengerusikan mesyuarat Majlis SDG Negara itu buat julung kali sejak penubuhannya pada 2016 melibatkan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor iaitu sektor awam, sektor swasta, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sivil, yang membincangkan agenda pembangunan mampan negara.

Mesyuarat itu dihadiri ahli-ahli majlis yang merangkumi Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri Kanan dan Menteri Persekutuan, Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan, Ketua Kluster Jawatankuasa Kerja SDG, dan beberapa Ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

SDG dilaksanakan dalam tiga fasa mengikut rancangan pembangunan negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), dari 2016 hingga 2020 dan kini dilaksanakan dalam RMK12 (2021-2025) serta akan diteruskan dalam RMK13 (2025-2030).

Pelaporan kemajuan SDG negara dilaksanakan setiap empat tahun, sejajar dengan saranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar pembentangan laporan dilakukan secara berkala menerusi Laporan Semakan Kebangsaan (VNR).

Menurut Ismail Sabri, Malaysia telah membentangkan VNR pada 2017 dan 2021 di Forum Politik Peringkat Tinggi Matlamat Pembangunan Mampan PBB bagi memenuhi obligasi negara di peringkat global, dengan VNR melaporkan secara inklusif kemajuan dan cabaran negara dalam pelaksanaan SDG di peringkat nasional.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut mengambil maklum akan cabaran dan situasi semasa peringkat global dan tempatan serta kemerosotan dalam pencapaian beberapa SDG negara ekoran impak negatif pandemik Covid-19, cabaran perubahan iklim dunia, krisis inflasi dan kemelut geopolitik antarabangsa.

"Kerajaan fokus untuk mencapai Agenda 2030 dan memperkukuhkan tindakan mencapai 17 SDG bagi menjadi negara mampan menjelang 2030 dengan melibatkan seluruh Keluarga Malaysia dalam arus pembangunan sosio ekonomi negara," katanya. - Bernama