Ismail Sabri terima kunjungan hormat TPM Singapura

Ismail Sabri menerima kunjungan Wong di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra pada Isnin. Turut kelihatan, (dari kiri) Saifuddin dan Tengku Zafrul. - Foto Bernama
Ismail Sabri menerima kunjungan Wong di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra pada Isnin. Turut kelihatan, (dari kiri) Saifuddin dan Tengku Zafrul. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong di Perdana Putra di sini, yang menyaksikan kedua-dua negara terus memperkukuh hubungan akrab mereka.

Ini merupakan lawatan sulung Wong ke Malaysia selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri republik itu pada Jun 2022. Wong tiba di Malaysia pada Ahad untuk lawatan rasmi empat hari.

Pada pertemuan hampir sejam itu yang bermula pada jam 5.30 petang, Ismail Sabri mengucapkan tahniah kepada Wong atas pelantikan beliau dan kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Singapura termasuk dengan meneroka bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negara.

Singapura merupakan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia selepas China dengan nilai dagangan AS$29.85 bilion dan sumber import kedua terbesar Malaysia juga selepas China dengan import berjumlah AS$18.45 bilion dari Januari hingga Julai 2022.

Dari Januari hingga Disember 2021, pelaburan Singapura di Malaysia ialah sebanyak AS$38.62 bilion, manakala pelaburan Malaysia di Singapura berjumlah AS$25.41 bilion bagi tempoh sama.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Semasa berada di Malaysia, Wong turut dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: