[VIDEO] GTA hantar permohonan daftar sebagai parti politik

Marzuki (tengah) bersama pemimpin parti GTA ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks D, di sini pada Selasa.
Marzuki (tengah) bersama pemimpin parti GTA ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks D, di sini pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Gerakan Tanah Air (GTA) menyerahkan permohonan pendaftaran sebagai gabungan parti politik kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah tersebut bagi membolehkan gabungan itu menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Walaupun GTA ini adalah gerakan rakyat badan gabungan orang Melayu, bagi melayakkan gabungan ini bertanding dalam PRU15, maka kami telah melakukan proses sewajarnya berdasarkan undang-undang," katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya.

Dr Mahathir tidak menghadiri sesi pertemuan dengan ROS kerana sedang menjalani tempoh kuarantin Covid-19 yang berakhir pada Selasa.

Menurutnya, GTA berusaha sebaik mungkin mengangkat suara orang-orang Melayu bagi memperbetulkan penyelewengan politik yang berlaku pada hari ini dan meletakkan kembali negara ke hala tuju sebenar untuk kemajuan masa hadapan.

"GTA berhasrat meletakkan pemimpin yang terbaik dan berwibawa dikalangan orang Melayu, tidak mengira parti untuk menjadi wakil rakyat mereka dan memungkinkan perubahan sebenar dapat berlaku," tegasnya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, GTA menyeru semua orang Melayu dan rakyat Malaysia yang cintakan negara dan mahukan yang terbaik untuk negara ini, untuk bersama-sama dengan gerakan ini untuk melakukan perubahan.

"Kami mengharapkan RoS akan meluluskan penubuhan ini dengan segera seperti mana hak berpersatuan yang dijamin dalam perlembagaan bagi memastikan hak demokrasi GTA dan rakyat dapat berlaku dengan sihat menjelang PRU15 akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Marzuki berkata, GTA mengetengahkan logo obor berwarna merah sebagai simbolik membawa cahaya ke seluruh negara.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, GTA merupakan gabungan empat parti politik yang setanding dengan gabungan parti politik sedia ada seperti Perikatan Nasional (PN), BN dan Pakatan Harapan (PH).

"Kita harap GTA ini dapat diberi pertimbangan sewajarnya," ujarnya.

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, pendaftaran GTA merupakan suatu proses biasa dalam sesebuah negara demokrasi.

"Tidak ada sebab permohonan GTA ini ditolak kerana kami pun masing-masing ada pengalaman mendaftarkan parti politik.

"Bukan benda baharu, cumanya kali ini mahu gabungkan empat parti. Sepatutnya lebih mudah (proses pendaftaran)," katanya.