Pengunjung SAS 2022 diminta peka peraturan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Orang awam yang hadir ke Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2022 dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 8 September ini diminta peka dengan peraturan ditetapkan bagi mengelak dihalang memasuki ruang pameran.

Invest Selangor menerusi kenyataan pada Isnin berkata, orang awam termasuk pelajar yang mahu ke pameran itu digalakkan hadir pada hari ketiga program.

Menurut kenyataan itu, lokasi program adalah di Skypark Regional Aviation Centre (RAC), Subang bersebelahan dengan Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Pengunjung boleh meletakkan kenderaan di Terminal Lapangan Terbang Subang atau menaiki komuter KTM Skypark dari KL Sentral atau Subang Jaya ke lokasi. Bas henti-henti turut disediakan bagi memudahkan ke lokasi program.

"Pengunjung kemudian perlu pergi ke kaunter pendaftaran SAS2022 di Terminal Lapangan Terbang Subang untuk mendapatkan pas lawatan," kata kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, pengunjung perlu menjalani pemeriksaan di pintu masuk Gate 7 sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan ke Skypark RAC.

"Pengunjung digalak peka dengan peraturan keselamatan ditetapkan sebelum memasuki lapangan terbang atau kawasan keselamatan kerana akan menjalani pemeriksaan.

"Pastikan pengunjung tidak membawa barangan larangan termasuk bahan letupan, bahan mudah terbakar, bahan radioaktif, senjata termasuk jenis tiruan seperti pistol mainan serta benda tajam atau bakal dihalang memasuki ruang pameran," jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, pengunjung digalak untuk membuat pendaftaran awal di https://selangoraviationshow.com bagi melancarkan perjalanan.

Selain itu, pengunjung dinasihati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan ditetapkan dengan memakai pelitup muka serta individu yang tidak sihat dan mempunyai simptom Covid-19 seperti demam atau batuk tidak digalak hadir.

SAS2022 memasuki tahun kedua dihoskan oleh kerajaan Selangor bersama Invest Selangor merupakan program jaringan perniagaan buat pemain industri penerbangan dan aeroangkasa.

Sebanyak 56 peserta terlibat dalam pameran itu dengan sasaran kehadiran pengunjung sebanyak 8,000 orang menerusi pengisian forum dan sesi pendidikan pada hari ketiga.