Enam lelaki ditahan bantu siasatan kes gaduh

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis mengesahkan enam lelaki yang bergaduh di Taman Melor, Kampung Kuantan Bestari Jaya di sini sudah ditahan pada Ahad bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, semua suspek berusia 22 hingga 35 tahun ditahan pada jam 6.15 petang.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pergaduhan itu melibatkan sekumpulan lelaki dipercayai akibat perselisihan faham.

"Permohonan reman sudah dibuat di Majistret Kuala Selangor dan enam suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan.

Ujar beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatmaliani di talian 013-6716323 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden rusuhan di sebuah taman perumahan di Bestari Jaya pada Ahad.

Sebelum ini, tular video berdurasi 0.34 saat menunjukkan pergaduhan dua kumpulan yang membuat kecoh di jalan raya berhampiran taman perumahan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Menerusi video itu, terdapat beberapa lelaki memegang senjata meluru ke beberapa kenderaan hingga tercetusnya rusuhan.