Bertindak rasional tangani isu penerokaan tanah pertanian

Abdul Aziz (kanan) bersama Hak Yan (tengah) ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Abdul Aziz (kanan) bersama Hak Yan (tengah) ketika ditemui pemberita pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari menasihatkan Menteri Besar supaya bersikap rasional dalam menyelesaikan isu penerokaan tanah kerajaan bagi tujuan pertanian melibatkan petani kecil.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes di negeri ini, hasil tanaman petani-petani kecil dimusnahkan serta-merta bagi tujuan pengosongan dan pembersihan tanah hingga mendatangkan kerugian besar kepada kumpulan itu.

Menurutnya, kerja-kerja tanah yang dilakukan sepatutnya boleh ditangguhkan mengikut pertimbangan sama ada sehingga petani memperoleh tapak baharu atau setidaknya tanaman terakhir dapat diambil.

"Dari segi undang-undang, memang petani ini tidak mempunyai hak kerana sudah termaktub sebagai tanah kerajaan.

"Cuma sedikit kesal apabila pembersihan tanah yang dilakukan telah menyebabkan kemusnahan terhadap hasil tanaman yang diusahakan penduduk sejak berpuluh tahun.

"Sedangkan sebahagian besar sayuran yang mereka tanam itulah digunakan sebagai bekalan makanan kepada rakyat negeri ini," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu mengambil contoh kes terbaharu melibatkan seorang petani kecil di Kampung Baru Chenderong, Batu Gajah yang mengalami kerugian lebih RM200,000 apabila tanaman pisang, bendi, labu air, bayam dan kelapa pandan musnah disebabkan kerja-kerja pembersihan tanah.

Katanya, petani itu telah menerima notis arahan pengosongan tanah pada 19 Ogos lalu dan diberi tempoh dua minggu untuk keluar dari kawasan pertanian yang diusahakan sejak 25 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sebaiknya dalam soal pengurusan tanah ini, pihak berkuasa terbabit seharusnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan petani terlibat agar dapat memberikan tempoh masa yang secukupnya bagi membawa keluar hasil tanaman.

"Kalau nak ambil tindakan perundangan kepada petani itu pun tidak mengapa, namun segala hasil tanaman di situ janganlah diusik. Beri tempoh sehingga dapat dituai atau dibawa keluar," katanya.

Dalam kes itu, Wu Hak Yan, 48, telah mengusahakan tanah kerajaan dengan aktiviti pertanian seluas lapan hektar untuk dipasarkan ke pasar-pasar borong sekitar Ipoh.

Permohonan kebenaran untuk mengusahakan kawasan tanah itu telah dibuat tiga kali kepada kerajaan negeri sejak 2008, namun tidak diluluskan.

Ketika kerja pembersihan dilakukan, Hak Yan meminta tempoh agar dapat membawa keluar hasil tanamannya tetapi mendakwa pihak berkuasa tidak mengendahkannya.