Lebih 200 kali derma darah

Mat Hussin menunjukkan buku derma darah pertamanya.
Mat Hussin menunjukkan buku derma darah pertamanya.
A
A
A

KOTA BHARU - Niatnya untuk membantu menyelamatkan nyawa pesakit menjadikan lelaki ini menderma darah lebih 200 kali sepanjang usianya.

Kakitangan Bahagian Perkhidmatan Dobi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Mat Hussin Yusof, 58, yang memiliki darah jenis A memberitahu, keikhlasannya menderma darah kerana tidak mampu menyumbang kewangan dan masa.

Mat Hussin mula menderma darah pada usia 21 tahun dan sebanyak 125 kali dilakukan untuk Unit Perubatan Transfusi (UPT) Hospital USM.

"Saya pada mulanya memikirkan mahu berkhidmat kepada mereka yang memerlukan, tetapi tiada apa dapat saya berikan selain menyumbangkan darah kerana tidak memerlukan modal.

"Bermula dari situ, saya menderma darah dan meneruskan niat menyumbang kepada pesakit HUSM ketika mendaftar bekerja sebagai Pembantu Awam di Hospital itu pada 15 Ogos 1984," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Katanya, sepanjang tempoh itu, dia memiliki lima buku rekod derma darah.

Mat Hussin yang akan bersara pada 20 September ini nekad meneruskan rutinnya menderma selama tiga bulan sekali bergantung kepada tahap kesihatannya.

Tambahnya, kenangan paling indah sepanjang bekerja apabila menjadi antara penderma paling awal jika UPT membuat hebahan memerlukan darah untuk pesakit.

Artikel Berkaitan:

"Tiada lain yang saya fikirkan selain dapat menyelamatkan pesakit. Sehingga kini sudah sembilan kali saya menderma darah ketika pesakit benar-benar memerlukan walaupun tidak mengenali mereka secara peribadi," katanya.

Mat Husin menunjukkan tarikh derma darah yang dilakukan segera selepas HUSM membuat pengumuman.
Mat Husin menunjukkan tarikh derma darah yang dilakukan segera selepas HUSM membuat pengumuman.

Bapa kepada enam anak itu turut berkongsi saat dukanya pada 1990-an apabila terpaksa berhenti menderma darah lebih lima tahun akibat kecederaan lutut.

"Saya aktif bersukan dan terjatuh ketika bermain bola mengakibatkan kecederaan dan jangkitan kuman pada lutut," katanya.

Bagaimanapun, Mat Hussin bersyukur kerana kesihatannya kembali pulih dan doktor turut membenarkannya menderma darah.

Sebagai penderma darah tegar, datuk empat cucu itu juga tidak mengalami sebarang penyakit yang boleh menghentikannya daripada menderma.

Dia turut mengakui tiada pantang dalam kehidupannya selain suka makan nasi tiga kali sehari bersama lauk-pauk seperti kebiasaan individu lain.

"Alhamdulillah, saya sentiasa sihat dan boleh menahan nafsu kerana memakan vitamin selepas menderma darah menyebabkan keinginan menikmati makanan meningkat," katanya.

Mat Husin turut menggalakkan rakan lain menderma darah dan memaklumkan rutin itu dapat mengekalkan kesihatan serta menjadikan badan sentiasa sihat.

"Saya akan terus menderma darah, tetapi perlu mendapatkan nasihat doktor jika sudah berusia 60 tahun bagi mengelakkan masalah kesihatan," katanya.

Mat Hussin juga gembira kerana ada anak-anak mengikut langkahnya menderma darah walaupun tidak sekerap yang dilakukan.