Sekretariat ASEAN perlu proaktif isu di Myanmar

Saifuddin - Foto Bernama
Saifuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekretariat ASEAN perlu bertindak cepat dan proaktif dalam menyediakan maklumat terkini mengenai perkembangan di Myanmar, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Menteri Luar itu berkata, beliau dan menteri-mentari luar ASEAN hanya menerima laporan mengenai situasi di Myanmar daripada sumber sendiri iaitu melalui pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bukan daripada sekretariat ASEAN.

"Pada 3 September, saya telah menulis surat kepada setiausaha agung ASEAN meminta, antara lain, memaklumkan kepada menteri-menteri luar ASEAN tentang apa sebenarnya berlaku di Myanmar.

"Sekretariat ASEAN mesti bertindak cepat untuk menyampaikan apa yang sebenarnya berlaku di Myanmar... mereka (sekretariat ASEAN) perlu mempunyai pasukan yang bertugas sepenuh masa," katanya pada sidang media selepas melawat sekolah untuk Kanak-kanak Rohingya, Rabbaniyah Educare, di sini, pada Isnin.

Pada 1 Februari 2021, tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa, beberapa jam sebelum parlimen baharu bersidang buat kali pertama.

Sejak itu, lebih 2,000 orang terbunuh dalam pemberontakan menentang junta.

Pada Julai lalu, junta telah menjatuhkan hukuman gantung terhadap empat tahanan politik, antaranya dua aktivis prodemokrasi terkemuka.

Minggu lalu pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi telah dikenakan hukuman penjara tambahan tiga tahun lagi atas tuduhan penipuan pilihan raya, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjaranya kepada 20 tahun, termasuk kesalahan rasuah.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, junta Myanmar dilaporkan turut memenjarakan Vicky Bowman, bekas duta United Kingdom ke negara itu, dan suaminya warga tempatan selama setahun kerana melanggar peraturan imigresen. - Bernama