MPK henti sementara operasi tangkap anjing liar

Laporan Sinar Harian pada 17 Ogos.
Laporan Sinar Harian pada 17 Ogos.
A
A
A

KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) menghentikan seketika operasi penangkapan anjing liar di daerah itu bagi memberi laluan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor menjalankan siasatan berkaitan isu tular di media sosial.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi Facebook MPK pada Isnin.

Menurut pemakluman itu, sepanjang tempoh tersebut, sebarang aduan anjing liar boleh dirujuk ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Klang.

"Aduan juga boleh dikemukakan menerusi emel pvdklang@dvssel.gov.my atau di talian 03-31686077," menurut pemakluman itu pada Isnin.

Pada 16 Ogos lalu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) mempersoalkan tindakan pihak berkuasa tempatan itu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menangkap anjing liar sehingga menyebabkan kecederaan kepada haiwan terbabit.

SAFM berkata, pihaknya menerima satu klip video yang menunjukkan kekasaran terhadap seekor anjing dewasa diheret dan dihumban secara ganas oleh seorang petugas menggunakan gelung tangkap.

Menurut SAFM, anjing terbiar itu sudah berlumuran darah di mulutnya namun terus diseret, ia jelas menggambarkan kegagalan pihak itu untuk mengikut SOP penangkapan anjing.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin menafikan dakwaan MPK tidak mengikut SOP penangkapan haiwan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, tindakan dibuat menggunakan UKK 17(1) Undang-undang Kecil Perlesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPK) 2007.

Tambahnya, pemilik kedai gagal membuktikan bahawa anjing tersebut miliknya, menyebabkan haiwan tersebut dikategorikan sebagai binatang terbiar.

Beliau pada masa menasihatkan orang ramai yang ingin membela anjing untuk melesenkan haiwan tersebut dan boleh dikompaun sebanyak RM1,000 di bawah UKK 17(1) Undang-undang Kecil Perlesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPK) 2007 jika gagal berbuat demikian.