PDRM umum 19 pertukaran, kenaikan pangkat pegawai kanan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Juruiring polis kepada Yang di-Pertuan Agong dan juruiring polis kepada Perdana Menteri merupakan antara pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam kenaikan pangkat pasukan itu.

Mereka ialah Asisten Komisioner Yahaya Othman yang akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner dan Superintendan Zaidi Ali Ibrahim memangku pangkat Asisten Komisioner.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata semua kenaikan pangkat dan pertukaran yang dikeluarkan PDRM hari ini berkuat kuasa 7 Mei.

Selain kedua-dua juruiring itu, turut dinaikkan pangkat dan terlibat dalam pertukaran jawatan ialah tiga Ketua Polis Daerah iaitu Ketua Polis Daerah Tuaran, Sabah Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail yang ditukarkan sebagai Ketua Polis Daerah Kinabatangan dengan memangku pangkat Superintendan.

Pegawai Staf ll (Atur Urus) Tadbir/Logistik Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Deputi Superintendan Kasim Muda dinaikkan sebagai Ketua Polis Daerah Beluran, Sabah dengan memangku pangkat Superintendan manakala Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Kinabalu, Sabah Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim ditukarkan ke jawatan sebagai Ketua Polis daerah Tuaran, Sabah dengan memakai pangkat yang sama.

Selain itu, Timbalan Ketua Staff Operasi Darat ESSCOM JPM, Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin bertukar ke jawatan sebagai Timbalan Ketua Pasukan Khas ESSCOM JPM.

Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Sabah pula bertukar jawatan sebagai Timbalan Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas/Teknikal ESSCOM JPM dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Ketua Polis Daerah Beluran, Sabah Superintendan R Shivananthan pula bertukar ke jawatan sebagai Timbalan Ketua Staff II Pusat ESSCOM JPM dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Turus Pengurusan Dasar/Sumber, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Superintendan Razmi Mohd Gunnos pula bertukar ke jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Turut terlibat dalam pertukaran itu ialah Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah yang ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran, Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.- Bernama