PRU15: Pas belum muktamad jumlah kerusi ditandingi

Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui media selepas Majlis Simposium Perubahan IKLIM 2022 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui media selepas Majlis Simposium Perubahan IKLIM 2022 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas masih belum memuktamadkan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, segala keputusan berkenaan jumlah kerusi yang bakal ditandingi Pas akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat parti itu.

"Itu bukan jumlah kerusi kami bertanding, itu kerusi yang kami pantau (80 kerusi). Jumlah kerusi kami akan bincang di peringkat parti. Perikatan Nasional (PN) belum putuskan (kawasan parti bertanding), bagaimanapun setiap parti akan buat pemantauan kerusi-kerusi yang kami rasa boleh menang,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas sama ada sasaran Pas bertanding 80 kerusi Parlimen pada PRU15 sudah dibincangkan dengan PN ataupun tidak.

Semalam, Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan Pas menyasarkan untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada PRU15.

Menteri Besar Kedah itu berkata, jumlah tersebut sekali ganda berbanding 40 kerusi ditandingi pada PRU14 dan pihaknya sedang menganalisa kawasan yang mencapai indeks pencapaian utama (KPI) untuk berada dalam senarai 80 kerusi Parlimen yang disasarkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: