Gadis tempuh detik cemas diekori, cuba dipegang lelaki

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Seorang gadis terpaksa menempuh detik mencemaskan apabila diekori dan cuba dipegang seorang lelaki dalam kejadian di sebuah rumah flat di Jalan Dagang, Taman Dagang di sini pada Sabtu.

Suspek yang berumur 32 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas setelah mangsa menghubungi dan meminta bantuan tunang kakaknya sebelum lelaki terbabit diserahkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 3.45 petang itu mangsa berumur 17 tahun diekori suspek dari kawasan parkir flat tersebut hingga ke tangga blok rumah kakaknya.

"Suspek kemudian mengekori mangsa secara rapat dan cuba memegang mangsa. Remaja wanita itu bagaimanapun sempat melarikan diri.

"Suspek kemudian bertindak membuat kacau di hadapan rumah kakak mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, mangsa kemudian menghubungi tunang kakaknya untuk meminta bantuan.

"Suspek kemudian berjaya diberkas sebelum diserahkan kepada polis.

"Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod berkaitan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.