Diusir dari rumah akibat konflik keluarga

Wanita bersama bayi dan seorang lagi anaknya hilang tempat tinggal susulan konflik keluarga.
Wanita bersama bayi dan seorang lagi anaknya hilang tempat tinggal susulan konflik keluarga.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perit dugaan buat seorang wanita yang sedang berpantang bersama bayi berusia 21 hari apabila diusir dan tiada tempat tinggal akibat konflik keluarga.

Menerusi perkongsian di Facebook Baitulmal MAIWP, suaminya yang dipanggil Asri terpaksa mengambil keputusan membawa isteri bersama tiga anaknya keluar rumah disebabkan permasalahan itu.

Menurut perkongsian itu, Asri yang tiada hala tuju kemudian secara tidak sengaja tiba di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) untuk mencari tempat berteduh.

Susulan itu, pegawai bertugas terus menghubungi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Mereka juga terus bertindak dengan menempatkan keluarga ini di Anjung Singgah memandangkan penempatan PTGKL tidak sesuai untuk keluarga tersebut menginap," menurut perkongsian itu pada Isnin.

Tambah kenyataan itu, Asri tidak mempunyai banyak pilihan selain meminta bantuan susulan masalah kewangan terhad.

"Dia baru saja diterima bekerja sebagai seorang mekanik dan belum menerima gaji pertama.

"MAIWP dan Anjung Singgah di bawah kelolaan Yayasan Kebajikan Negara akan bekerjasama untuk mencari jalan bagi membantu keluarga ini secepat mungkin," tambah kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: