Remaja OKU ditinggalkan sendirian terjatuh dari apartment

Remaja lelaki OKU cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat satu apartment di Taman Melawati, Ampang pada Sabtu.
Remaja lelaki OKU cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat satu apartment di Taman Melawati, Ampang pada Sabtu.
A
A
A

AMPANG - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat satu sebuah apartment di Taman Melawati, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada ibu mangsa pada jam 8.32 pagi.

Menurutnya, mangsa yang terjatuh ke atas kereta mengalami kecederaan di kepala dan menerima lima jahitan selain retak pada tangan.

"Siasatan awal mendapati mangsa ditinggalkan seorang diri di rumahnya sejak jam 9.15 malam Jumaat lalu kerana ibunya membawa anak perempuan berumur lima tahun ke latihan renang dan bermalam di sebuah hotel di Damansara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan ibu mangsa pada jam 2 petang, Ahad.

Katanya, ibu mangsa berusia 43 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Ampang pada Isnin untuk permohonan reman.

"Kes disiasat bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak," ujarnya.

Tegasnya, pihak polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak kepada bahaya.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)