'Jangan hanya jadi pemerhati isu alam sekitar'

Tetamu turut memenuhi khemah luar untuk mendengar ucapan pada Muktamar Tahunan Pas Pusat Kali Ke-68 di Kompleks Pas Kedah pada Ahad
Tetamu turut memenuhi khemah luar untuk mendengar ucapan pada Muktamar Tahunan Pas Pusat Kali Ke-68 di Kompleks Pas Kedah pada Ahad
A
A
A

ALOR SETAR - Rakyat Malaysia khususnya ahli Pas diingatkan agar tidak sekadar menjadi pemerhati terhadap isu alam sekitar. Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, beliau tertanya-tanya mengapa isu itu tidak dibahaskan dalam Muktamar Pas kali ini sedangkan dunia sedang membicarakan soal perubahan iklim dengan sangat serius.

Menurutnya, orang awam tahu bagaimana kesan perubahan iklim yang berlaku ini boleh mengganggu sekuriti makanan negara.

“Ia akan mengganggu seluruh infra kepanasan global dan meningkatkan suhu dunia yang kesannya banjir hujan tidak menentu.

“Jadi, ahli-ahli Pas diharap mendukung gagasan menjadi dominasi kepada isu-isu pembelaan melibatkan alam sekitar,” katanya ketika ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas Pusat Kali Ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini pada Ahad.

Beliau berkata, isu alam sekitar, pencemaran, toksik dan pembuangan sampah mampu memberi kesan kepada manusia sekiranya tidak ditangani sebaiknya.

“Berpuluh loji terpaksa ditutup kerana pelanggaran kepada sistem dan pencemaran punca-punca minuman kita. Ini sangat serius,” katanya.

Tuan Ibrahim berpandangan, ahli peringkat negeri hinggalah kawasan perlulah memberi tumpuan dan keutamaan terhadap isu alam sekitar ini.

“Jangan kita hanya menjadi pemerhati kepada apa yang berlaku, sebab saya tengok gagasan alam sekitar ini gagasan yang betul-betul menepati apa yang ALLAH gariskan dalam al- Quran dan apa yang Nabi Muhammad SAW pandukan kita dalam hadis,” katanya.

Artikel Berkaitan: