Terima jemputan atas tiket Exco Kerajaan Negeri Kedah

Suraya
Suraya
A
A
A

ALOR SETAR - Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob menafikan menerima undangan menghadiri Muktamar Pas Ke-68 atas kapasiti kepimpinan UMNO atau institusi kepartian.

Suraya berkata, beliau menerima jemputan pada 30 Ogos lalu daripada Ketua Pegawai Khas Menteri Besar Kedah bagi menghadiri muktamar tahunan yang diadakan di Kompleks Pas Kedah atas tiket Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Katanya, ketika berbual dengan Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan di Majlis Perasmian Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas Dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan pada 1 September lalu, beliau hanya berseloroh mengatakan Muktamar Tahunan Pas 2022 itu dibuat serentak dengan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kedah

"Beliau langsung tidak menyebut tentang jemputan kepada kepimpinan UMNO di peringkat pusat mahupun negeri Kedah ke Muktamar berkenaan.

"Malah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berada di majlis yang sama juga tidak dimaklumkan tentang sebarang undangan ke Muktamar Pas 2022 itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Suraya menegaskan tiada sebarang undangan dibuat oleh Pas kepada kepimpinan UMNO pusat atau negeri Kedah untuk ke Muktamar Pas.

"Malah sepanjang empat tahun Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan, saya tidak pernah sekalipun hadir ke mana-mana Muktamar Tahunan Pas, mahupun mesyuarat di peringkat Pas kawasan atau negeri Kedah.

"Pelik pula pada tahun ini kecoh kononnya tidak seorang pun kepimpinan UMNO hadir pada Muktamar Pas, bagaimana hendak hadir kalau tiada jemputan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Suraya dalam pada itu turut menasihatkan Pas agar lebih ikhlas dan bercakap benar kepada rakyat tentang soal jemputan atau kehadiran kepimpinan UMNO ke Muktamar Pas yang dilihat mengelirukan orang ramai.

Isu jemputan UMNO ini mula tercetus apabila Takiyuddin pada Sabtu mengesahkan tidak ada seorang wakil daripada parti UMNO sama ada di peringkat negeri ataupun pusat, hadir dalam Majlis Perasmian dan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-68.

Beliau turut menyatakan bahawa jemputan yang dihantar kepada wakil parti berkenaan turut tidak mendapat sebarang maklum balas serta jawapan.