Kerajaan pandang serius rakyat jadi mangsa sindiket penipuan

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Luar Negeri (KLN) memandang serius laporan berhubung rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di beberapa buah negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya telah menerima surat daripada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah memohon bantuan dan kerjasama kementerian untuk membebaskan serta membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket.

“KLN melalui perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkuasa negara tuan rumah yang berkenaan bagi membantu menyelamatkan rakyat yang terlibat, selain daripada bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan mereka dibawa pulang segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Saifuddin sehingga 2 September lalu, bilangan mangsa yang dilaporkan di Kemboja adalah seramai 148 orang, Thailand (23), Laos (22) dan Myanmar (dua).

“Bilangan mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa pulang dari Kemboja adalah seramai 65 orang, Laos (10 orang), Thailand (10 orang) dan Myanmar (dua).

“Semua laporan serta dokumen yang diterima oleh kementerian ini akan disalurkan terus kepada perwakilan Malaysia yang berkenaan untuk tindakan susulan segera dengan pihak berkuasa negara tuan rumah.

“Pada masa yang sama, proses ini adalah tertakluk kepada prosedur dan undang-undang di negara terbabit yang melibatkan urusan siasatan, intipan, usaha menyelamat, dokumentasi dan sebagainya yang akan mengambil masa,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan individu atau waris yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara untuk tampil dan membuat laporan polis bagi membantu siasatan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, individu atau waris boleh berhubung terus dengan KLN melalui Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia di Luar Negara melalui e-mel bkrm@kln.gov.my atau melaporkan secara terus di Bahagian Konsular, KLN bagi mendapatkan bantuan selanjutnya.

“Kementerian menasihatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran untuk bekerja di luar negara, terutama sekali bagi pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan dan diterima melalui platform media sosial seperti Facebook, Telegram, Wechat dan lain-lain,” tegasnya.