Keputusan rayuan Abdul Azeez batal 13 pertuduhan rasuah, AMLA esok

Abdul Azeez
Abdul Azeez
A
A
A

KUALA LUMPUR – Selepas beberapa kali tertangguh, keputusan rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, di Mahkamah Rayuan Putrajaya diketahui pada Isnin.

Keputusan itu akan disampaikan tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said.

Turut bersidang dalam prosiding terbabit ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Dalam prosiding sebelum ini, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili bekas Pengerusi Tabung Haji itu berkata, mahkamah telah menetapkan keputusan rayuan kes itu pada 21 Mac.

Namun mahkamah menetapkan keputusan untuk membatalkan pertuduhan berkenaan pada 1 Julai, selepas Abdul Azeez mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menarik balik pertuduhan tersebut.

Prosiding keputusan itu ditangguhkan lagi dan ditetapkan pada 26 Ogos kerana terdapat petunjuk baharu berhubung representasi yang dikemukakan Ahli Parlimen Baling itu.

Bagaimanapun, pada tarikh berkenaan, mahkamah menangguhkan keputusan apabila Abdul Azeez dilaporkan menghidap gastroenteritis akut dan mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

Sekiranya mahkamah membenarkan rayuan tersebut, Abdul Azeez akan dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, jika mahkamah menolak, prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi akan berjalan seperti biasa.

Setakat ini seramai tujuh saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Pada 12 Mac 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua pertuduhan atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai sebarang merit yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk berbuat demikian.

Pada Januari 2019, Ahli Parlimen Baling itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak.

Ia membabitkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB pada 8 Disember 2010 dan Affin Bank Berhad, Setiawalk, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 serta 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.