Rundingan kerusi PH Pahang dijangka selesai bulan depan

Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari (duduk, empat dari kanan) bergambar selepas Mesyuarat Agung Pakatan Harapan di sebuah hotel, pada Ahad.
Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari (duduk, empat dari kanan) bergambar selepas Mesyuarat Agung Pakatan Harapan di sebuah hotel, pada Ahad.
A
A
A

TEMERLOH - Rundingan agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) Pahang dijangka dapat diselesaikan pada Oktober depan.

Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keutamaan diberikan untuk menyelesaikan jumlah kerusi yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 memandangkan parti itu tidak lagi bersama PH.

"Selepas selesai rundingan, ia akan dibawa ke Majlis Presiden untuk keputusan muktamad. Memang akan ada pertambahan kerusi kerana kini tiga parti berada dalam PH berbanding empat (parti) sebelum ini.

"Proses rundingan perlu diselesaikan secepat mungkin supaya dapat menggariskan manifesto serta pertemuan dengan rakyat ke arah PRU15," katanya kepada Sinar Harian selepas Mesyuarat Agung PH di sebuah hotel di sini, pada Ahad.

Mesyuarat itu menyaksikan pelantikan antaranya Pengerusi Amanah Pahang Zulkifli Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PH Pahang manakala Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji sebagai Pengarah Pilihan Raya PH negeri tersebut.

Dalam pada itu, Amirudin yang merupakan Menteri Besar Selangor mengakui pelantikan sebagai Pengerusi PH Pahang adalah satu tugas besar yang perlu digalas sebaik mungkin.

"Optimis untuk melakukan perubahan yang besar di Pahang. Sesiapa mampu menawarkan sesuatu yang baik, saya percaya dapat meraih sokongan rakyat," katanya.

Sementara itu, Zulkifli optimis dengan kemampuan dan pengalaman dimiliki Amirudin dapat diterjemahkan ke negeri tersebut sekali gus melakukan perubahan di Pahang.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14, PH Pahang berjaya menawan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen namun berkurangan menjadi tiga kerusi selepas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Februari 2020.