Agong berkenan tonton aksi final Piala Sultan Pahang 2022

Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar bersama pemain dan pegawai pasukan Pasir Pekan FC yang menjuarai Piala Sultan Pahang 2022 ketika berangkat tiba menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur pada Sabtu.- Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar bersama pemain dan pegawai pasukan Pasir Pekan FC yang menjuarai Piala Sultan Pahang 2022 ketika berangkat tiba menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur pada Sabtu.- Foto Bernama
A
A
A

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu berkenan mencemar duli menonton perlawanan akhir Piala Sultan Pahang 2022 antara Semantan Troopers FC dan Pasir Pekan FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Keberangkatan tiba Seri Paduka ke stadium pada jam 4.30 petang diiringi anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Turut hadir barisan kepimpinan kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Usai perlawanan, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan hadiah kepada Pasir Pekan FC dari Kelantan yang muncul juara selepas menewaskan Semantan Troopers FC 2-1.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah berangkat ke Karnival Bola Sepak Akar Umbi Bawah 12 Tahun yang diadakan sempena Piala Sultan Pahang 2022 di Padang Sintetik Majlis Bandaraya Kuantan yang terletak bersebelahan Stadium Darul Makmur.

Seri Paduka Baginda meluangkan masa kira-kira setengah jam menyantuni pemain bola sepak cilik daripada 16 pasukan antaranya dari Pahang, Kuala Lumpur, Terengganu, Perak dan Kelantan.

Piala Sultan Pahang yang julung kali dianjurkan itu disertai lapan pasukan dengan empat daripadanya adalah dari Pahang iaitu Alam Mahkota, FC Jerantut, Semantan Troppers FC dan Yayasan Pahang Maintenance.

Selain Pasir Pekan FC, pasukan luar Pahang yang menyertai kejohanan itu ialah Cyberjaya Teleflow dari Selangor, KRU FC (Kuala Lumpur) dan FC Kerteh (Terengganu).

Artikel Berkaitan:

Kejohanan dengan format kalah mati itu diadakan bagi memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang selain bertujuan memperkasa budaya sukan dalam komuniti dan mempromosi gaya hidup sihat menerusi bola sepak. - Bernama