‘Jaga PerantiSiswa, jangan jual di Low Yat’

Annuar (kanan) pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), pada Sabtu.
Annuar (kanan) pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menasihatkan mahasiswa yang menerima PerantiSiswa agar menjaga sebaiknya tablet Samsung terbabit.

Menurutnya, mahasiswa yang menerima tablet itu tidak perlu risau sekiranya ia mengalami kerosakan.

Kalau rosak hantar sahaja ke pusat perkhidmatan, akan dapat terus gantian yang lain. Pembelajaran tidak terganggu kalau peranti rosak kerana ia akan cepat diganti.

“Kalau tenggelam banjir, berlaku kebakaran atau musibah keluarga juga tidak perlu risau kerana peranti lain akan diberikan secara berterusan asalkan jangan jual di Low Yat, kemudian datang tuntut yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), pada Sabtu.

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Annuar dalam sidang akhbarnya menjelaskan, kerajaan telah menyediakan 400,000 unit PerantiSiswa untuk tahun ini.

Jelasnya, untuk fasa satu, pihaknya menerima 100,000 permohonan daripada mahasiswa B40 selain fasa kedua juga masih dibuka.

Artikel Berkaitan:

“Yang ini untuk program tahun ini. Bila masuk tahun depan, kita kena kira lain.

“Bergantung kepada bajet yang akan datang. Ini apa yang telah diumumkan oleh kerajaan semasa pembentangan Bajet 2022,” ujarnya.

Ketika ditanya mengapa permohonan ini dibuat secara berfasa, Annuar menjelaskan bahawa sewaktu membuat perolehan peranti ini, tidak ada mana-mana pihak yang mahu membekalkan 400,000 unit sekali gus.

“Yang keduanya pelajar-pelajar itu tempoh pelajarannya berbeza-beza,” ujarnya.