PerantiSiswa: Lebih 300,000 tablet diagih

Fahmi (depan, lima dari kiri) menunjukkan 'mini love' ketika bergambar kenangan bersama warga di UiTM Cawangan Kampus Machang selepas merasmikan Jelajah Saya Digital 2023 Kelantan pada Sabtu.
Fahmi (depan, lima dari kiri) menunjukkan 'mini love' ketika bergambar kenangan bersama warga di UiTM Cawangan Kampus Machang selepas merasmikan Jelajah Saya Digital 2023 Kelantan pada Sabtu.
A
A
A

MACHANG - Sebanyak 381,251 tablet diagihkan di seluruh negara menerusi inisiatif PerantiSiswa yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi Digital sejak September 2022.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kemudahan itu bertujuan membantu mahasiswa dan pelajar daripada keluarga B40 bagi memastikan kelancaran proses pembelajaran.

Menurut beliau, seramai 29,609 penerima inisiatif PerantiSiswa sudah dikenal pasti di Kelantan

"Sehingga kini sebanyak 24,525 tablet sudah diedarkan di negeri ini," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Saya Digital 2023 Kelantan di UiTM Cawangan Kampus Machang, Kelantan pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh dan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor.

Dalam pada itu, Fahmi memberitahu, Kempen Saya Digital turut diadakan bagi mempersiapkan rakyat dengan kemahiran digital bertujuan memperkasakan ekonomi digital.

"Kempen ini melibatkan masyarakat terutamanya golongan B40, warga emas, komuniti rentan sosio ekonomi, pelajar dan usahawan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kementerian itu juga melaksanakan Program eUsahawan Saya Digital Bisnes yang merupakan antara teras Kempen Saya Digital dan berjaya melatih seramai 27,595 usahawan di Kelantan dengan jumlah jualan terkumpul lebih RM1.1 bilion.

Jelajah Saya Digital 2023 Kelantan yang dihadiri hampir 500 mahasiswa dan usahawan tempatan itu merupakan program turun padang untuk meningkatkan literasi kemahiran digital rakyat.

Program berkenaan seiring dengan visi menuju Dekad Keemasan Digital sekali gus menjadikan Malaysia sebagai Harimau Digital Asia.