PRU15: Pilih calon mampu tadbir, boleh menang

Perwakilan Terengganu, Kamaruzaman Abdullah membahaskan ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas ke-65 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Sabtu. -Foto Pas pusat
Perwakilan Terengganu, Kamaruzaman Abdullah membahaskan ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas ke-65 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Sabtu. -Foto Pas pusat
A
A
A

ALOR SETAR - Pimpinan parti dicadangkan agar memilih calon Pas yang mampu mentadbir negara, selain boleh menang dan diterima pengundi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perwakilan Terengganu, Kamaruzaman Abdullah berpandangan beberapa kriteria ini perlu diberi perhatian terutamanya selepas pucuk pimpinan memutuskan untuk memberikan kuota 30 peratus kepada calon orang muda.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Negeri (BPPN) Terengganu menyokong cadangan untuk mengetengahkan 30 peratus calon muda tersebut.

“Namun, calon anak muda yang akan jadi calon ini harus dipastikan layak atau tidak untuk mengisi tempat yang akan dicalonkan itu.

“Watak calon pemimpin yang ada biar ada tiga kategori ini dan tahu hala tuju," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas ke-65 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Sabtu.

Beliau turut menyarankan supaya calon boleh menang yang dipilih mestilah memiliki kualiti seorang pemimpin iaitu kualiti yang ada pada Saidina Mu'adz Bin Jabal yang memahami soal halal dan haram.

"Selain itu, Saidina Abu Ubaidah Al-Jarrah yang digelar 'Amirul Ummah' dan Saidina Salim Bin Abi Huzaifah yang terkenal sebagai seorang yang paling alim bab agama walaupun beliau merupakan seorang hamba," jelas beliau.

Sehubungan itu, Kamaruzaman berharap pucuk pimpinan mengambil keputusan terbaik demi kelangsungan parti dengan memilih calon boleh menang dan mampu mentadbir negara sekali gus tidak membawa permasalahan kepada jemaah kabinet.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa memberi ucapan perasmian Muktamar Pemuda Pas di sebuah hotel menyatakan pendirian bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pemuda akan mewakili parti dalam PRU15.

Dalam perkembangan lain, Kamaruzaman turut membawa isu pembunuhan karakter pemimpin parti itu sendiri menjelang musim pilihan raya dan pemilihan calon yang didakwa berlaku dalam kalangan ahli parti.

Beliau meluahkan rasa sedih dengan situasi berlaku apabila berlaku pembunuhan karakter terhadap pemimpin Pas dengan begitu hebat.

“Buah mulut yang keluar ini daripada ahli kita sendiri dan didengar oleh orang lain akan terkesan dan beri gambaran yang tak baik,” ujarnya.

Beliau menasihatkan supaya ahli supaya tidak terlibat sama dalam pembunuhan karakter terhadap pimpinan dan calon Pas sendiri.

Tambah beliau, ucapan dasar Presiden dengan jelas menyatakan lima fokus utama yang perlu dilakukan di semua peringkat bagi mempersiapkan jentera Pilihan Raya Pas.

Kata beliau, antaranya kekuatan organisasi, petugas bagi setiap Unit Daerah Mengundi (UDM), pasukan kempen yang cekap dan berkesan, gerak gempur pemilih serta penculaan bersepadu.