PRN: PKR tampil calon berwibawa, boleh menang

Adam Adli
Adam Adli
A
A
A

KUALA SELANGOR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal menampilkan calon berwibawa dan mendapat sokongan rakyat untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim berkata, tumpuan bukan setakat hanya umur calon sebaliknya kematangan dan keterampilan memimpin menjadi keutamaan.

Menurutnya, kemampuan seseorang calon itu penting bagi meneruskan agenda membantu rakyat terutama di negeri ditadbir parti itu bersama gabungan Pakatan Harapan (PH).

"Calon diketengahkan ini pastinya akan memberi tumpuan kepada isu- isu di peringkat negeri dan seterusnya mampu mentadbir dengan baik sekiranya diberikan mandat" katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada pelepasan Program Bukit Melawati Lebarun 2023 di Dataran Malawati di sini pada Sabtu.

Mengambil contoh di Selangor, Adam Adli memberitahu, pelbagai inisiatif berbentuk kebajikan diperkenalkan kerajaan negeri untuk membantu rakyat di semua peringkat.

Jelas beliau, pelbagai pendekatan diambil kerajaan Selangor yang dilihat cenderung kepada rakyat bermula dari tabung kebajikan untuk bayi baharu lahir hingga ke warga emas.

Justeru, katanya, rakyat diminta terus menilai dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

"Perkara ini perlu dinilai bagi menentukan calon yang boleh menang pada PRN dan seterusnya meneruskan agenda membantu rakyat," tambahnya.