IOI City Mall tawar kemudahan gelanggang badminton, futsal

Rashid (empat dari kanan) hadir pada pelancaran Pusat Sukan IOI pada 25 Ogos lalu. (Gambar kecil: Tin Yow)
Rashid (empat dari kanan) hadir pada pelancaran Pusat Sukan IOI pada 25 Ogos lalu. (Gambar kecil: Tin Yow)
A
A
A

PUSAT Sukan IOI bertaraf dunia dibuka secara rasmi pada 25 Ogos lalu bakal memberikan kemudahan buat penggiat sukan khususnya peminat fanatik sukan badminton.

Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Bhd, Datuk Voon Tin Yow berkata, pusat sukan yang terletak di IOI City Mall itu menyediakan 15 gelanggang badminton dan dua gelanggang mini futsal untuk kemudahan orang ramai.

Menurutnya, kemudahan terbaharu itu menjadikan pusat beli-belah itu bukan sekadar tempat bersantai pada waktu lapang malah menyediakan pelbagai fasiliti termasuk aktiviti sukan.

"Badminton adalah sukan yang menyatukan rakyat Malaysia. Kini orang datang sini bukan hanya untuk beli-belah atau menjamu selera tetapi juga untuk bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Kemudahan sukan ini juga berpotensi untuk penganjuran sukan bertaraf tempatan dan antarabangsa. Kami harap ia mampu direalisasikan satu hari nanti," katanya pada majlis perasmian 25 Ogos lalu.

Turut hadir pada majlis itu, Pengasas merangkap Presiden Kelab Badminton Rashid Sidek (KBRS), Datuk Rashid Sidek yang akan bekerjasama dengan IOI Properties Group di bawah Akademi Badminton Rashid Sidek.

Dalam pada itu, Rashid berkata, beliau terharu diberikan kepercayaan sebagai ketua jurulatih dan pengarah program latihan bagi mencari bakat dan pemain pelapis negara.

"Malaysia konsisten melahirkan pemain badminton berkelas dunia dan ramai pemain muda menunggu masa untuk digilap bakatnya. Saya berbangga IOI Properties Group menyediakan fasiliti sukan serba lengkap yang akan menjadi platform mengembangkan bakat baharu dan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pemain elit sedia ada juga boleh berlatih di sini untuk menajamkan lagi skil mereka untuk persediaan kejohanan antarabangsa," katanya.