Buku latihan unik, murah sempena Jualan Gudang Karangkraf

Mohd Nazaruddin yang terkenal dengan nama pena Kipas Hikmat menunjukkan buku yang dihasilkannya bertajuk ‘Fuiyoo Senangnya Matematik’ dan Fuiyoo Senangnya Biologi’.
Mohd Nazaruddin yang terkenal dengan nama pena Kipas Hikmat menunjukkan buku yang dihasilkannya bertajuk ‘Fuiyoo Senangnya Matematik’ dan Fuiyoo Senangnya Biologi’.
A
A
A

SHAH ALAM – Lakaran kartun dan penggunaan formula yang mudah difahami antara keunikan buku latihan yang dihasilkan seorang penulis buku ilmiah, Mohd Nazaruddin Yusoff pada Jualan Gudang Karangkraf 2022 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

Beliau yang terkenal dengan nama pena Kipas Hikmat berkata, dia ingin berkongsi ilmu pembelajaran secara santai kepada pelajar sekali gus dapat menarik minat anak-anak muda terhadap bidang sains dan matematik.

“Saya menghasilkan buku latihan bagi subjek Matematik, Sains, Kimia dan Biologi. Tajuk buku yang dihasilkan antaranya ‘Fuiyoo Senangnya Matematik’ dan 'Fuiyoo Senangnya Biologi’.

“Lakaran kartun itu membolehkan pelajar tidak berasa bosan selain tertarik untuk membuat latihan dan saya ingin ketengahkan kaedah pembelajaran secara santai serta tidak terbeban.

“Sebab itu saya ketengahkan kaedah pembelajaran yang menyeronokkan dengan adanya lakaran kartun, pengiraan yang ringkas dan formula mudah diingati menerusi buku latihan dihasilkan ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Jualan Gudang Karangkraf 2022 berlangsung dari 26 Ogos hingga 4 September ini di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam yang merupakan kali kedua dianjurkan pada tahun ini.

Jualan gudang selama 10 hari itu bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam dengan menawarkan pelbagai bahan bacaan pada harga serendah RM1 selain tawaran diskaun sehingga 80 peratus.

Mohd Nazaruddin yang juga seorang kartunis memberitahu harga yang dijual sepanjang jualan gudang ini pada harga berpatutan selain murah berbanding di tempat-tempat lain.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh mereka yang mendapatkan buku Fuiyoo Senangnya Matematik di jualan gudang ini boleh mendapat harga diskaun ahli iaitu sebanyak 25 peratus dengan harga RM18.80.

"Sementara itu RM20 bagi harga diskaun bukan ahli (20 peratus) berbanding harga asal buku tersebut RM25,” jelas beliau.

Norizan, Izzatty
Norizan, Izzatty

Sementara itu, Pengurus Kualiti di sebuah syarikat swasta, Norizan Abdul Hamid, 40, berkata, dia berpuas hati dengan harga buku yang dijual sempena jualan gudang itu dan berharap jualan gudang terus diadakan pada masa akan datang.

“Hari ini saya berkesempatan bawa anak-anak datang ke jualan gudang ini. Selain membeli novel yang dijual dengan harga murah, saya juga tertarik untuk membeli buku latihan karya Kipas Hikmat yang dilihat mempunyai info yang menarik dan mudah difahami,” tambahnya.

Seorang lagi pengunjung, Izzatty Azhar, 26, berkata, dia ingin memborong novel-novel yang digemarinya untuk mengisi masa lapang dan menghilangkan tekanan dengan membaca pelbagai bahan bacaan.

“Saya datang sebab nak beli novel karya Aisya Sofea dan buku-buku agama yang dijual dengan harga yang murah selepas diskaun,” ujarnya.