Lelaki disabitkan kesalahan memandu melulu, bebas dengan jaminan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang ahli perniagaan yang dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, dibenar diikat jamin oleh Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan penangguhan hukuman penjara Adrian Khoo Chin Hong, 28, dan turut membenarkan dia dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuannya.

Panel hakim itu yang turut dianggotai Datuk Nordin Hassan dan Datuk See Mee Chun, turut memerintahkan Adrian Khoo melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di balai polis berhampiran sehingga rayuannya diputuskan oleh mahkamah.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Khoo untuk merayu di Mahkamah Rayuan untuk satu persoalan undang-undang disemak semula dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling tidak membantah permohonan itu serta permohonan mengenai ikat jamin yang dikemukakan menerusi peguam Adrian Khoo, Guok Ngek Seong.

Isu tersebut adalah berkenaan Seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah bagi kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, iaitu sama ada penilaian maksimum pada penutupan kes pembelaan adalah standard pembuktian yang betul, berbanding melampaui keraguan munasabah.

Memandangkan kes itu asalnya dibicarakan di Mahkamah Majistret maka Adrian Khoo perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah Rayuan untuk merit kes itu didengar.

Pada 5 April tahun lepas, Mahkamah Majistret Shah Alam mendapati Adrian Khoo bersalah memandu keretanya secara berbahaya di persimpangan lampu isyarat di Persiaran Bestari, Shah Alam, Selangor pada 7.10 pagi, 29 Ogos 2012 sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Shafiq Mahfok, 22.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 36 bulan dan denda RM10,000 atau 12 bulan penjara. Dia juga dilarang memandu selama dua tahun. Adrian Khoo membayar denda itu.

Adrian Khoo kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan ditolak pada 8 Ogos lepas dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara.

Mahkamah Majistret sebelum itu, membenarkan penangguhan hukuman penjara Adrian Khoo dan membenarkan dia dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi. - Bernama