Warga emas durjana mengaku lakukan amang seksual

Rosmi (dua dari kanan) mengaku bersalah melakukan amang seksual di Mahkamah Sesyen pada Jumaat.
Rosmi (dua dari kanan) mengaku bersalah melakukan amang seksual di Mahkamah Sesyen pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang warga emas durjana dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 14 tahun, Isnin lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu terhadap Rosmi Hassan, 72, selepas warga emas terbabit membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, warga emas berstatus duda itu didapati telah melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 14 tahun.

Perbuatan itu dilakukan semasa berada dalam kereta Perodua Viva antara jam 10 pagi hingga 3 petang pada 29 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, dikendalikan Muhammad Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa memberitahu telah berkawan rapat dengan tertuduh yang merupakan jiran lama sejak tertuduh kematian isteri dua tahun lalu.

Pengadu yang merupakan abang mangsa tidak mengesyaki sebarang mencurigakan kerana tertuduh telah berusia, namun mula mengesyaki sesuatu apabila mangsa kerap keluar bersama hampir setiap minggu termasuk mendapat duit, telefon dan pakaian daripada tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Pada 29 Ogos lalu, pengadu terserempak dengan mangsa dan tertuduh yang sedang menaiki kereta jenis Perodua Viva sebelum mengejarnya bagaimanapun cuba dilanggar tertuduh.

Selepas tertuduh ditahan polis, pengadu terkejut apabila mangsa memaklumkan tertuduh telah meraba badan mangsa serta melakukan hubungan seks.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan rogol terhadap mangsa sama kira-kira jam 3.30 petang pertengahan Ogos lalu di sebuah rumah.

Namun tertuduh mengaku tidak bersalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 September ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh dikenakan denda RM1,800 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar selepas mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap abang mangsa.

Majistret Izwan Mohamed Noh membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada 29 Ogos lalu jam 3.30 petang.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.