Dulu bengis kini hafaz al-Quran

Menjalani hukuman di Penjara Kluang, Amin bukan sahaja mendapat hidayah, malah kini tekun untuk menghafaz al-Quran.
Menjalani hukuman di Penjara Kluang, Amin bukan sahaja mendapat hidayah, malah kini tekun untuk menghafaz al-Quran.
A
A
A

SHAH ALAM - Menjalani hukuman penjara bukan sahaja mengubah seorang individu yang terkenal dengan sikap bengis sehingga mendapat hidayah, malah ia turut mula mendorongnya untuk menghafaz al-Quran.

Itulah pengalaman dilalui seorang banduan dikenali dengan panggilan Amin (bukan nama sebenar) apabila mula menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah atas kesalahan merogol.

Menceritakan perasaan dilaluinya semasa mula menjalani hukuman tersebut, dia yang sebelum ini dikenali sebagai lelaki berperwatakan bengis dengan tubuh dicacah tatu itu berkata, memang agak sukar untuk dirinya menerima takdir tersebut.

“Tapi bila saya dah convert (memeluk Islam), saya terima banyak hikmah dalam tempat ini (penjara). Bukan sekadar masuk Islam, tapi banyak ilmu berkaitan agama yang saya belajar dalam ni,” katanya dalam sebuah video Iktibar Tirai Besi bertajuk Banduan ‘Langsi Tersungkur’ pada Khamis.

Amin yang menjalani hukuman di Penjara Kluang mengakui agak berdebar ketika pertama kali membuat keputusan untuk mengucap dua kalimah syahadah, iaitu setahun selepas berada di penjara.

“Masa itu waktu Zohor, orang ramai. Saya diislamkan oleh guru agama saya. Selepas daripada itu, saya dibenarkan untuk menunaikan solat sunat dua rakaat.

“Perasaan itu memang tidak tahu nak gambarkan apa, masa itu cuma ikut sahaja sebab tak tahu lagi lagi macam mana nak solat,” ujarnya yang kini turut menjalani program hafazan al-Quran di sekolah Tahfiz Tarbiyah Husnul Khatimah, Penjara Kluang.

Amin berkata, keputusannya untuk masuk Islam itu juga mendapat sokongan dan restu daripada ibunya.

Artikel Berkaitan:

Berkisah mengenai detik awal permulaannya mendekati al-Quran, Amin berkata, kesedaran itu timbul secara tidak sengaja selepas dia melihat ketekunan rakan selnya di dalam penjara yang membaca kitab suci tersebut setiap kali selepas solat.

Selepas daripada itu, Amin berkata, dia mula bertanyakan kepada rakannya berkenaan perkara tersebut sebelum dirujuk untuk berjumpa dengan pegawai bagi dimasukkan ke dalam sekolah agama.

“Apabila nak belajar itu memang berdebar, sebab nak jumpa dan mengaji depan ustaz. Tapi perasaan lepas membaca itu memang seronok sebab ramai kawan sama mengaji dan belajar belajar daripada iqra satu sampai enam hingga lepas itu itu naik al-Quran.

“Mendorong saya untuk belajar ini juga sebab sekolah sini dia tak hanya terapkan khas untuk belajar membaca al-Quran, tapi dia ajarkan juga ilmu ibadah, muamalat dan macam-macam lagi berkaitan dengan agama Islam,” ujarnya yang menyasarkan menghafaz 10 juzuk al-Quran ketika tempoh menjalani hukuman.

Sementara itu, Amin yang berasal dari Sarawak itu mengakui bahawa beliau kini masih belum bersedia untuk berhadapan dunia luar yang menurutnya penuh dengan pelbagai cabaran dan godaan sekiranya dibebaskan.

“Walaupun dah lapan tahun, saya rasa belum bersedia lagi sebab saya nak kumpul lagi ilmu untuk nak berhadapan dengan pelbagai pancaroba dekat luar sana,” katanya yang dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan kerana kesalahan tersebut.