Pahang sasar 33 emas di Sukma 2022

Wan Rosdy bersama 557 atlet selepas berakhirnya majlis penyerahan bendera Kontinjen Sukma Pahang di Dataran Esplanade pada Khamis.
Wan Rosdy bersama 557 atlet selepas berakhirnya majlis penyerahan bendera Kontinjen Sukma Pahang di Dataran Esplanade pada Khamis.
A
A
A

PAHANG meletakkan sasaran 33 pingat emas selain menduduki tangga kelima teratas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 yang berlangsung di ibu negara bermula 16 September ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran itu cuba dicapai menerusi penyertaan dalam 33 acara yang cabarannya akan digalas seramai 557 atlet.

"Sebanyak 33 emas yang kita sasar membabitkan 33 acara antaranya memanah, silat, menembak, gimnastik dan golf. Malah kita juga menyasarkan memperoleh 20 pingat perak dan 46 gangsa dalam Sukma itu nanti.

"Kalau boleh memang kita hendak berada pada kedudukan satu atau dua, tetapi dalam keadaan situasi sekarang kita begitu optimis dan yakin dapat berada di kedudukan lima terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas berakhirnya majlis penyerahan bendera Kontinjen Sukma Pahang di Dataran Esplanade di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan badan-badan bukan kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Wan Rosdy menjelaskan, semua atlet sudah bersedia untuk menyertai acara yang dipertandingkan sekali gus misi memburu emas pada temasya terbabit.

Tambahnya, ganjaran akan diberikan kepada atlet sekiranya mereka dapat membawa pulang pingat emas.

Artikel Berkaitan:

"Ini menjadi amalan kita di Pahang untuk menghargai perjuangan atau kehebatan mereka semasa bertanding. Kita berharap supaya atlet yang terlibat dapat memberikan fokus sepanjang bertanding di Sukma.

"Mereka (atlet) juga perlu menjaga disiplin, mematuhi ketetapan masa dan perkara yang lebih penting menjaga nama baik kontinjen.

"Kita tahu sukan ini sangat berprestij dan diadakan dua tahun sekali, justeru semua negeri mahu ke depan untuk berjaya. Jadi, kita tidak boleh rasa selesa dan perlu berlatih dengan sebaiknya," ujar beliau.