PM peruntuk RM17.8 juta pemulihan banjir Baling

A
A
A

BALING - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan sebanyak RM17.8 juta bagi melaksanakan pemulihan bencana banjir di Kampung Iboi, Kupang, Baling, pada 4 Julai lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi membina jambatan baharu yang runtuh, RM3 juta bagi membina 17 buah rumah mangsa banjir dan RM4.8 juta bagi membaik pulih 17 buah titi terjejas.

Menurutnya, Jambatan Bailey yang menghubungkan Kampung Iboi dengan Masjid Iboi hanya untuk kegunaan sementara dan perlu dibina jambatan konkrit.

"Oleh itu, kerajaan meluluskan RM10 juta bagi membina jambatan baharu menggantikan Jambatan Bailey," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis doa selamat sambutan 65 tahun kemerdekaan dan bencana banjir daerah Baling di Dataran Keluarga Malaysia Parlimen Baling Kampung Teluk Durian, Kupang pada Khamis.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, 17 buah rumah dikesan berada di tepi sungai berisiko berlaku banjir jika hujan berterusan akan dipindahkan ke tempat baharu.

Ismail Sabri bertemu rakyat semasa hadir ke majlis doa selamat sambutan 65 tahun kemerdekaan dan bencana banjir daerah Baling di Dataran Keluarga Malaysia Parlimen Baling Kampung Teluk Durian, Kupang pada Khamis.
Ismail Sabri bertemu rakyat semasa hadir ke majlis doa selamat sambutan 65 tahun kemerdekaan dan bencana banjir daerah Baling di Dataran Keluarga Malaysia Parlimen Baling Kampung Teluk Durian, Kupang pada Khamis.

"Hari ini saya nak umumkan kerajaan Persekutuan bersetuju memperuntukkan RM3 juta bagi membina 17 rumah lagi untuk mereka yang tinggal di tepi sungai, tapak dah dikenal pasti oleh kerajaan negeri dan akan dibina segera.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga bersedia membaik pulih 17 titi di kawasan bencana di mana sebanyak RM4.8 juta diperuntukan bagi tujuan itu.

"Sembilan buah titi akan dibaik pulih oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan kos berjumlah RM2.4 juta manakala lapan titi lagi akan diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dengan kos sama RM2.4 juta," jelasnya.

Beliau berharap perkara tersebut dapat disegerakan bimbang titi tersebut tidak selamat.

Dalam majlis sama, beberapa sumbangan turut diserahkan termasuk penyampaian bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada 1012 mangsa banjir yang terjejas di Baling.