Empat sekawan mengaku tidak bersalah samun warga Bangladesh

Tiga daripada empat sahabat yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Tiga daripada empat sahabat yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Empat rakan termasuk seorang bapa dua anak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki warga Bangladesh.

Tertuduh Hafizzul Hizzuan Zulkipli, 31, Fadzulilahie Azmi, 29, Zulkifle Zainal, 34, dan Muhammar Nassir Hassan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan samun berkumpulan dengan mengambil wang tunai berjumlah RM1,000, telefon bimbit bernilai Realme C35 dan komputer riba jenama HP yang keseluruhan bernilai RM2,000 milik Molla Md Mahbub.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pondok tanpa nombor, Lot 1429, Jalan Sungai Air Hitam, Kampung Tanjung Minyak di sini pada jam 1 pagi, 19 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan atas beberapa alasan termasuk perlu menanggung anak dan ibu bapa yang sakit selain tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 berserta seorang penjamin bercagar dan menetapkan 28 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: