Sembilan tawaran menarik Pemuda Pas untuk anak muda

Sebahagian peserta Muktamar Tahunan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-63 bertema ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Sebahagian peserta Muktamar Tahunan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-63 bertema ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ di sebuah hotel di sini pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Pemuda Pas mengemukakan sembilan tawaran menarik kepada anak muda sekiranya diberi peluang untuk menerajui kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tawaran berkenaan melibatkan empat fokus utama kepada anak muda iaitu kos sara hidup, barangan asas, rasuah dan kebolehpasaran.

Beliau berpandangan, anak muda mempunyai harapan yang besar kepada kerajaan untuk melaksanakan segala tanggungjawab yang diberikan dengan sebaiknya.

"Tentu sekali anak muda juga mempunyai sesuatu keinginan yang perlu kita terjemahkan dalam bentuk tawaran.

"Sehubungan itu, Pemuda Pas telah merangka beberapa tawaran termasuklah pemilikan rumah melalui kaedah sewa beli," katanya ketika Ucaptama Ketua Pemuda Pas di Muktamar Tahunan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-63 bertema ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Beliau menjelaskan, pemilikan rumah berkenaan adalah satu insentif khas ditawarkan kepada anak muda yang masih tidak mempunyai rumah dan mempunyai masalah dalam memperoleh pinjaman bagi pembelian rumah.

"Tawaran yang akan diberikan fokus kepada menawarkan lebih banyak rumah kepada anak muda dalam bentuk sewa beli. Ini untuk memudahkan pemilikan rumah dari kalangan anak-anak muda yang rata-ratanya amat sukar untuk memperoleh pinjaman untuk membeli rumah," katanya.

Tambah Ahmad Fadli, tawaran kedua adalah insentif pengecualian dan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memberi fokus kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40).

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyarankan supaya Program Mybrain dihidupkan kembali dengan penjenamaan baharu bagi memberi bantuan kewangan dengan membiayai pengajian rakyat khususnya anak di peringkat Ijazah Kedoktoran dan Ijazah Sarjana.

“Selain itu, terdapat beberapa tawaran lagi termasuklah penyewaan tanah milik kerajaan kepada anak muda bagi tujuan pertanian serta data internet percuma 5GB sehari untuk B40 dan M40, katanya.

Ahmad Fadhli berkata, Pemuda Pas turut mencadangkan pelaksanaan makanan percuma kepada pelajar B40 dan M40 di institusi pengajian awam melalui kaedah e-dompet.

“Tidak ketinggalan, peralihan subsidi dengan mengkreditkan RM100 sebulan dalam bentuk e-dompet kepada anak muda dari keluarga B40 dan M40 untuk membeli barang keperluan harian,” katanya.

Menurut beliau, antara tawaran yang tidak kurang pentingnya adalah membantu keluarga muda khususnya B40 dan M40 yang memiliki anak masih bersekolah iaitu melalui bantuan bayaran kenderaan anak ke sekolah.

Beliau memaklumkan, makan percuma untuk pelajar kategori B40 bagi meringankan beban dan mengurangkan perbelanjaan keluarga ini yang mempunyai anak-anak ramai masih bersekolah juga antara tawaran dikemukakan Pemuda Pas.