PRU15: Pemuda Pas 'simpan' dahulu tawaran

Ahmad Fadhli (dua dari kiri) pada Himpunan Anak Muda Kelantan Sempena Ulang Tahun Kedua PN di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad.
Ahmad Fadhli (dua dari kiri) pada Himpunan Anak Muda Kelantan Sempena Ulang Tahun Kedua PN di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda Pas membuat ketetapan 'menyimpan' dahulu tawaran parti itu untuk golongan muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari bagaimanapun berkata, tawaran untuk anak muda itu akan dikemukakan menerusi ucaptama pada muktamar parti itu yang akan berlangsung di Kedah bermula 1 September depan.

"Tawaran ini sudah selesai di peringkat Pemuda Pas. Cuma untuk Perikatan Nasional (PN), kita telah tubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji beberapa lagi tawaran bagi dimasukkan ke dalam manifesto peringkat PN," katanya ketika ditemui pemberita pada Himpunan Anak Muda Kelantan Sempena Ulang Tahun Kedua PN di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Ahad.

Hadir sama Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed.

Beliau berkata, selain itu beberapa usul berkait dengan situasi semasa akan turut dibangkitkan sepanjang muktamar termasuklah isu hangat.

Menurutnya, bagaimanapun usul melibatkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) tidak akan dibawa dan dibahaskan pada muktamar kali ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu memberitahu, Pas tetap teguh dengan sasaran dan ketetapan yang telah diputuskan oleh presiden parti.

"Pas seboleh-bolehnya tidak mahu pertembungan antara PN dengan BN berlaku kerana fokus utama mengalahkan Pakatan Harapan (PH).

"Bagaimanapun kita akan melihat dan meneliti perkembangan situasi politik semasa. Apa yang pasti PN akan bergerak bawah satu kerangka kerja dan itulah sedang dijalankan ketika ini.