Rakyat sukar dapat makanan sihat

Kenaikan harga makanan pada masa ini menyebabkan rakyat Malaysia semakin sukar mendapatkan pemakanan sihat dan seimbang. - Foto 123rf
Kenaikan harga makanan pada masa ini menyebabkan rakyat Malaysia semakin sukar mendapatkan pemakanan sihat dan seimbang. - Foto 123rf
A
A
A

KETUA Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin pada Isnin memaklumkan kadar inflasi Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai lalu berbanding 122.5 bulan sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, indeks makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.

Jelasnya, terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan lebih perlahan berbanding Jun lalu, antaranya adalah subkumpulan ikan dan makanan laut sebanyak 4.2 peratus dan sayur-sayuran 7.1 peratus.

Apa yang menjadi persoalan ketika ini ialah bagaimana keadaan perbelanjaan rakyat kerana berdasarkan laporan tersebut, peningkatan inflasi negara disumbang oleh isu harga makanan di pasaran.

Umum mengetahui antara perbelanjaan besar sesebuah keluarga ialah membeli makanan.

Antara kumpulan yang cukup terjejas ialah B40 dan M40 yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang besar.

Cabaran kumpulan ini adalah bagaimana mahu menguruskan perbelanjaan tanpa menjejaskan kualiti dan khasiat makanan.

Ada pihak mencadangkan agar mengurangkan perbelanjaan bagi perkara yang tidak penting khususnya dalam kategori kehendak.

Artikel Berkaitan:

Namun, bagaimana jika segala langkah tersebut telah diambil tetapi kumpulan berkenaan masih gagal mencukupkan perbelanjaan keluarga?

Apa yang membimbangkan ialah kemungkinan timbul isu kekurangan khasiat dalam diet harian rakyat Malaysia yang boleh menjurus kepada masalah kesihatan.

Julai lalu, Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah, Jarud Romadan Khalidi menyatakan kenaikan harga makanan pada masa ini menyebabkan rakyat Malaysia semakin sukar mendapatkan pemakanan sihat dan seimbang.

Jelasnya, harga makanan yang meningkat memburukkan lagi tahap keupayaan masyarakat untuk memperoleh nutrien makanan yang diperlukan.

Tambahnya, antara kesan kesihatan pemakanan bernutrisi tidak seimbang ialah masalah bantut dan berat badan berlebihan bagi kanak-kanak, manakala orang dewasa terdedah kepada penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, hipertensi dan diabetes.

Justeru, perlu ada satu langkah konkrit daripada kerajaan menerusi Bajet 2023 bagi memastikan harga makanan di pasaran dapat distabilkan semula dan kumpulan terkesan mampu mendepani kos sara hidup yang terus melonjak.