34 'bayi merdeka' di Terengganu

Dr Kasemani (tengah) melihat bayi merdeka yang dilahirkan di HSNZ pada 31 Ogos.
Dr Kasemani (tengah) melihat bayi merdeka yang dilahirkan di HSNZ pada 31 Ogos.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 34 bayi merdeka dilahirkan pada 31 Ogos setakat jam 10 pagi di semua hospital awam di Terengganu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah tersebut, 17 bayi adalah perempuan manakala selebihnya lelaki.

"Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) merekodkan 25 bayi merdeka diikuti Hospital Kemaman (4), Hospital Setiu (2) dan masing-masing satu di Hospital Dungun, Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu.

"Bayi merdeka pertama dilahirkan di HSNZ pada jam 12.24 malam," katanya kepada pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu sempena Hari Kebangsaan 2022 di HSNZ, di sini pada Rabu.

Program yang turut dihadiri Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem itu merupakan julung kali dianjurkan bagi meraikan kelahiran bayi pada 31 Ogos dengan penyerahan sijil ucapan tahniah dan cenderahati kepada ibu.

Ia mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Co-opbank Pertama dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sementara itu, impian seorang suri rumah dari Lembah Bidong, Setiu untuk mendapat anak merdeka akhirnya tercapai apabila anaknya lahir pada jam 12.24 malam tadi sekali gus menjadi 'bayi merdeka pertama' di Terengganu.

Mas Idayu Abd Wahid, 39, berkata, anak ketiga itu sepatutnya lahir pada 23 Ogos namun tidak menampakkan tanda-tanda untuk bersalin lalu dihantar ke HSNZ.

Artikel Berkaitan:

"Selepas 'induce' saya dimasukkan ke dewan bersalin pada jam 4.30 petang dan selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.51 kilogram lapan jam kemudian," katanya yang mempunyai dua anak perempuan berusia 8 dan 6 tahun.

Nurul Aishah Mat Yussop, 28, seorang suri rumah dari Kampung Panji Alam pula meluahkan rasa syukur kerana selamat melahirkan anak ke empat pada jam 12.49 malam, 31 Ogos.

"Alhamdulillah, ini merupakan bayi merdeka pertama dalam keluarga kami," katanya yang dijangka bersalin pada 28 Ogos.