Pemerkasaan literasi politik bentuk jati diri jiwa merdeka

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PEMERKASAAN literasi politik dalam kalangan golongan muda khususnya penuntut universiti bakal membuka ruang pembentukan jati diri merdeka dengan syarat pendedahannya mestilah seimbang dan holistik.

Senario yang menyeluruh perlu diperlihatkan berkenaan dengan peri pentingnya memikul tanggungjawab sebagai generasi yang menentukan masa hadapan negara.

Generasi yang bakal menyumbang kepada perubahan landskap politik ini perlu diingatkan tentang apakah perkara yang boleh dibantu untuk memajukan negara dan bukannya bersikap oportunis untuk kepentingan diri.

Berikutan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975 dan Seksyen 10(2)(c) dalam Akta Institusi-institusi Pelajaran pada tahun 2019 telah membolehkan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melibatkan diri dalam politik kepartian di dalam dan luar kampus, termasuk bertanding sebagai calon pilihan raya.

Apatah lagi pada PRU yang akan datang, pertama kalinya pengundi berusia 18 tahun ke atas sudah boleh mengundi kerana Parlimen telah meluluskan cadangan pindaan Seksyen 3 (a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkenaan dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, perubahan yang dilakukan ini memberi ruang dan peranan yang lebih besar kepada pelajar IPT untuk melibatkan diri secara lebih bermakna dalam proses demokrasi negara.

Sudah pasti kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memberikan pendedahan dan kefahaman kepada para pelajar tentang sistem demokrasi, pilihan raya dan politik negara.

Justeru, maksud merdeka harus dicerna dengan melihat dengan teliti adakah setelah 65 tahun bebas dari penjajahan, golongan muda dapat bersama mengekalkan kestabilan yang ada dan menjadikan “Keluarga Malaysia teguh bersama.”

Artikel Berkaitan:

Integriti, adab dan kesopanan perlu dikembalikan pada tempatnya. Zaman media sosial dilihat sebagai alat yang akan kembali membelenggu pemikiran golongan muda kerana arus pemikiran penjajah telah kembali mengalir menakluki minda tanpa sedar.

Bebas mengikut apa yang dirasakan benar tanpa memikirkan buruk baik atau kesan yang bakal mendatang. Maka itu pegangan agama dan pendirian yang utuh wajib menjadi asas kepada semua golongan terutamanya golongan muda pewaris negara.

Sejajar dengan itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu universiti awam terbesar dengan kapasiti 185,400 diseluruh negara telah merintis ke arah termetrainya kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia melalui memorandum persefahaman dan nota kerjasama bagi melaksanakan program pendidikan pengundi kepada pelajar.

Penglibatan Universiti Awam yang lain serta politeknik dan kolej komuniti juga dilihat bakal menghasilkan usaha yang positif dalam menyemarakkan keyakinan pengundi muda tentang signifikannya sumbangan mereka sekali gus menjadi laluan untuk melahirkan pengundi bijak, matang dan berketerampilan.

Kesimpulannya, pendidikan literasi politik yang telus bukan sahaja dapat memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada golongan muda di institusi pengajian tinggi tetapi juga menjadi panduan agar dapat membuat pilihan dengan bijaksana.

Pilihan yang tepat hanya boleh dilakukan dengan minda yang merdeka.

*Penulis adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.