Keluarga cari warga emas hilang

Abdul Rahman yang hilang sejak 29 Julai lalu selepas keluar dari rumah anaknya di Jalan Kunci, Air Kampung Perpat, Kapar, Klang.
Abdul Rahman yang hilang sejak 29 Julai lalu selepas keluar dari rumah anaknya di Jalan Kunci, Air Kampung Perpat, Kapar, Klang.
A
A
A

KOTA TINGGI - Warga emas Abdul Rahman Katan, 78, dicari ahli keluarganya selepas tidak pulang ke rumah sejak lebih sebulan lalu.

Anaknya, Amir Shah, 40, berkata, bapanya disedari hilang 29 Julai lalu selepas keluar dari rumah anaknya di Jalan Kunci Air, Kampung Perpat Kapar, Klang.

Menurut Amir, bapanya tinggal di rumah kakaknya di kampung tersebut dan kali terakhir keluar dari rumah memakai pakaian kemeja putih, berseluar hitam, bersongkok dan bercermin mata.

Dia berkata, bapanya menghidap penyakit Alzheimer dan juga perlu mengambil insulin setiap hari selain kakinya tidak kuat untuk berjalan.

"Laporan polis juga telah dibuat abang ipar saya di Balai Polis Sungai Kapar kerana hilang di bawah jagaan mereka.

"Puas sudah kami mencari ayah. Sekitar satu hingga tiga kilometer sekeliling rumah, di pekan Klang dan macam-macam tempat. Kami tiada bantuan cuma beberapa kerat adik beradik dan anak saudara lelaki lima ke enam orang sahaja.

"Biasanya ayah keluar rumah memang tak cakap apa-apa. Jika ayah keluar pun hanya jalan jalan sekitar rumah dan kedai runcit berdekatan rumah sahaja," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dia dan adik beradik amat bimbang keselamatan ayahnya yang tidak berapa sihat itu sama ada kini dalam keadaan baik atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

"Bapa saya berasal dari Felda Pengeli Timur di sini. Ibu saya sudah tiada, sebelum ini bapa duduk dengan saya di perumahan generasi Felda Sibol di sini. Selepas itu kakak saya mengambil alih menjaga bapa di Klang.

"Ayah segan bila duduk dengan saya kerana diuruskan menantu perempuan. Maklum sebab dia sudah uzur memakai lampin pakai buang. Jadi kakak saya yang ambil jaga bapa," katanya.

Dia berkata, tahun lalu bapanya pernah hilang satu hari satu malam di Klang tetapi ada orang yang menghantarnya balik ke rumah kakaknya di kampung tersebut.

Keluarganya merayu orang ramai yang mempunyai maklumat atau bertemu bapanya boleh hubungi talian 013-9371494 atau 017-8474081.