Keluarga Malaysia serlah semangat teguh bersama

Reaksi ceria Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika berkenan menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada Rabu. - Foto Bernama
Reaksi ceria Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika berkenan menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keharmonian Keluarga Malaysia dan keterujaan jelas terpancar di wajah ribuan individu pelbagai lapisan umur, bangsa dan latar belakang yang membanjiri Dataran Merdeka, bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Manifestasi tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, sambutan hari bersejarah tahun ini cukup bermakna dalam menzahirkan kesyukuran dan rasa bangga masyarakat majmuk negara ini yang beramai-ramai berhimpun di lokasi utama perarakan dan perbarisan seawal jam 4.30 pagi untuk menyaksikan acara itu.

Lautan manusia termasuk pelancong asing mengambil peluang menghayati tema sambutan dengan menampilkan semangat patriotisme, kebersamaan dan kesepaduan memeriahkan acara sambutan peringkat kebangsaan penuh warna-warni dan besar-besaran.

Setelah dua tahun disambut dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik Covid-19, acara perbarisan dan perarakan oleh hampir 20,000 peserta pelbagai kontinjen tahun ini diadakan gilang-gemilang yang mempamerkan komponen kenegaraan, barisan hadapan, urus tadbir negara, ketenteraman awam, keselamatan negara, komponen Keluarga Malaysia dan pertunjukan udara.

Acara sambutan yang melibatkan sejumlah 369 aset darat dan 68 aset udara serta 76 ekor haiwan dalam perkhidmatan, turut disiarkan secara langsung di kaca televisyen dan laman media sosial, orang ramai disajikan dengan dendangan lagu-lagu patriotik, diiringi Orkestra RTM pimpinan Datuk Mokhzani Ismail, yang julung kali terlibat dalam acara bersejarah itu.

Seramai 600 pelajar dari 24 sekolah sekitar negeri Selangor melakukan pergerakan formasi sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada Rabu. - Foto Bernama
Seramai 600 pelajar dari 24 sekolah sekitar negeri Selangor melakukan pergerakan formasi sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada Rabu. - Foto Bernama



Ketibaan rasmi dif-dif kenamaan dan pemimpin negara bermula jam 7.30 pagi disusuli dengan kemuncak keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menaiki Kereta Kuda Diraja, satu penampilan unik berbeza daripada kelaziman tahun-tahun sebelum ini.

Kereta Kuda Diraja kali terakhir digunakan pada 17 tahun lepas semasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berangkat menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2005.

Sejurus keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di pentas diraja, lima pesawat helikopter melakukan terbang lintas diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.

Artikel Berkaitan:


Seri Paduka kemudian menerima Tabik Hormat Diraja dan berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Nurul Fauzan Md Sabri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, empat menteri kanan dan menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, diplomat dan perwakilan asing serta dif-dif kenamaan menghadiri sambutan hari bersejarah itu.

Mendahului acara sambutan Hari Kebangsaan 2022 itu ialah nyanyian lagu Negaraku seiring dengan acara menaikkan Jalur Gemilang.

Serentak itu kedengaran 14 das tembakan kehormatan, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, dilaksanakan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Lt Kol Mohamad Asri Che Wil.

Menyemarakkan suasana sambutan, hadirin disajikan dengan lagu tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, nyanyian Alif Satar & The Locos bersama kumpulan koir Keluarga Malaysia dengan iringan muzik Orkestra RTM.

Tidak sempurna acara tanpa bacaan ikrar Rukun Negara, atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang merupakan pemegang rekod acara 100 meter negara mengetuai 65 pembaca ikrar yang terdiri daripada pelbagai kaum, sekali gus menonjolkan elemen keterangkuman.

Usai lafaz ikrar, laungan keramat 'Merdeka' sebanyak tujuh kali bergema di Dataran Merdeka.

Pada sambutan kali ini, hadirin dipersembahkan dengan persembahan khas colour guard ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ oleh 600 pelajar sekolah menengah di bawah penyelarasan Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Mendahului segmen kenegaraan ialah perarakan kontinjen pembawa bendera besar bersaiz 24.3 meter x 12.2 meter oleh 60 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan kadet pelatih dari Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia.

Ia diikuti dengan perarakan 330 pembawa Jalur Gemilang dan pembawa bendera negeri-negeri.

Bagi menggambarkan kesepakatan sinergi penyampaian perkhidmatan awam Malaysia, 27 kementerian dan jabatan daripada sektor perkhidmatan am, ekonomi, industri, keselamatan, infrastruktur, kemudahan awam dan sosial menyertai kontinjen barisan kementerian.

Turut menarik perhatian, perarakan kontinjen Persatuan Jurumasak Malaysia diketuai Presiden Khairuddin Kamarudin. Tunku Azizah merupakan penaung persatuan ini yang ditubuhkan pada 1977 dengan objektif menyatukan profesional masakan serta mewujudkan hubungan antara pemain industri serta jalinan kerjasama profesional.

Perarakan kemudiannya dimeriahkan dengan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia yang diketuai Sabri Said, melibatkan lima unit kenderaan pacuan empat roda daripada Jabatan Penerangan Malaysia dan 65 motosikal berkuasa tinggi BMW K16.

Bidang sukan yang menjadi elemen penyatuan rakyat Malaysia tidak ketinggalan membuat penampilan. Atlet Malaysia termasuk mereka yang mewakili negara pada temasya Sukan Komanwel Brimingham 2022 menaiki dua bas ‘hop-on hop-off’ menerima tepukan gemuruh para hadirin.

Menyerikan lagi sambutan tahun ini ialah perarakan 30 kenderaan klasik yang membawa tokoh dan karyawan seni antaranya pengarah filem Datuk Yusof Haslam serta personaliti filem pecah panggung 'Mat Kilau', Datuk Jalaluddin Hassan dan Shaharuddin Thamby.

Sejumlah 650 peserta daripada 33 syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan swasta serta kereta berhias yang membawa pelbagai maskot karekter animasi tempatan seperti Didi & Friends, Omar dan Hana, BoBoiBoy dan Papa Zola menceriakan perarakan dengan aksi masing-masing.

Dalam segmen ketenteraman awam, kontinjen barisan hadapan menarik perhatian ramai apabila turut membariskan petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan serta petugas keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan tonggak utama negara tatkala pandemik COVID-19 melanda negara.

Bagi segmen keselamatan negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan acara perbarisan dengan persembahan demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh pasukan elit, Grup Gerak Khas berserta aset-aset milik ATM.

Aset pesawat udara kontinjen keselamatan negara dipertontonkan di ruang udara, antaranya melibatkan dua jenis pesawat pengangkut terbesar A400M dan C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Buat julung kalinya ruang udara Kuala Lumpur digegarkan dengan persembahan formasi mega terbang lintas udara yang dibarisi 21 pesawat helikopter pelbagai agensi ATM, Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim.

Lagu tema ‘Keluarga Malaysia’ ciptaan Jerry dan lirik oleh Annuar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, mengakhiri persembahan sambutan yang memukau para hadirin.- Bernama