Usah perjudi kemerdekaan diri dengan hina mahkamah

Perbuatan mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan secara terang-terangan sebenarnya boleh dianggap sebagai satu perbuatan menghina mahkamah. - Foto Bernama.
Perbuatan mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan secara terang-terangan sebenarnya boleh dianggap sebagai satu perbuatan menghina mahkamah. - Foto Bernama.
A
A
A

SEJAK Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, ramai dilihat begitu ghairah mempertikaikan keputusan itu.

Pelbagai tohmahan dan kritikan telah dilemparkan terutama kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim yang menolak rayuan terakhir tersebut.

Kredibiliti Tengku Maimun dipersoalkan dengan tuduhan tidak berasas, kononnya perbicaraan Najib tidak berlangsung adil, malah integritinya dipertikai dengan dakwaan beliau dipengaruhi oleh individu atau pihak tertentu.

Yang lebih memalukan, keputusan Mahkamah Persekutuan itu turut dipertikaikan oleh individu yang arif dalam undang-undang, selain secara terang-terangan oleh orang politik sama ada di media sosial mahupun ketika berucap di atas pentas tertentu.

Pada masa sama, orang biasa turut tidak terlepas memberi pandangan masing-masing dengan isteri atau suami, ahli keluarga atau rakan-rakan sepejabat. Tidak salah berkongsi pendapat mengenai keputusan mahkamah atau berdebat sekalipun dengan ahli keluarga secara tertutup.

Namun, usahlah memuat naik hantaran di Facebook atau Twitter masing-masing yang mempertikaikan keputusan mahkamah atau memajukan hantaran dibuat pihak lain yang mempersoalkan keputusan mahkamah tersebut.

Perbuatan mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan secara terang-terangan sebenarnya boleh dianggap sebagai satu perbuatan menghina mahkamah dan si pelaku boleh diheret ke mahkamah atas dakwaan menghina mahkamah. Jika sabit kesalahan, si pelaku bukan sahaja boleh didenda, malah boleh juga dipenjarakan.

Adakah berbaloi kita dijatuhi hukuman penjara dan memperjudikan kebebasan yang diperoleh semata-mata terlalu ghairah hendak membela pemimpin tertentu?

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa sehingga kini juga dilihat masih belum mengambil sebarang tindakan tegas terhadap individu yang menghina keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan.

Biarpun begitu, jangan disalah erti tiada tindakan itu sebagai kelemahan pihak berkuasa dan berterusan menghina mahkamah. Berhentilah menghina mahkamah sebelum hilang hak untuk bebas.