Kanak-kanak 5 tahun maut kereta masuk gaung

Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabas dan masuk gaung di Jalan Kuala Paya, Buloh Kasap, Segamat pada Selasa.
Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabas dan masuk gaung di Jalan Kuala Paya, Buloh Kasap, Segamat pada Selasa.
A
A
A

SEGAMAT - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas kereta dinaiki bersama keluarganya terbabas dan masuk gaung dalam kejadian di Jalan Kuala Paya, Buloh Kasap di sini pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Fuad Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 3.06 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota dengan satu jentera Light Fire Rescue Tender dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang terbabas dan jatuh ke dalam gaung pada kedalaman 20 kaki.

"Mangsa yang maut dikenali Rizz Haikal Ereyentoo, manakala seorang wanita, Azlin Sairi, 39, dan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Fuad berkata, Rizz Haikal sebelum itu cedera parah serta tersepit di tempat duduk belakang.

"Namun selepas dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Mangsa lain tidak tersepit dan mereka telah keluar sendiri dari kereta itu yang terbalik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi menyelamatkan semua mangsa selesai pada jam 5.29 petang.