Kanak-kanak 12 tahun maut bukan sebab strok haba - JKNJ

Kenyataan media Jabatan Kesihatan Negeri Johor berhubung kematian kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Kluang. (Laporan Sinar Harian pada Selasa.)
Kenyataan media Jabatan Kesihatan Negeri Johor berhubung kematian kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Kluang. (Laporan Sinar Harian pada Selasa.)
A
A
A

KLUANG - Kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di daerah ini tiada kaitan dengan strok haba seperti dilaporkan media.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mendapati kematian kanak-kanak tersebut disahkan sebagai "Septic Shock secondary to Meningoencephalitis".

"Siasatan yang dijalankan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang mendapati, kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke wad kerana mengalami sawan selepas mengalami demam panas sehari sebelum dan mempunyai gejala batuk selama tiga hari.

"Sebab kematian telah disahkan sebagai Septic Shock secondary to Meningoencephalitis dan tiada kaitan dengan Strok Haba seperti dilaporkan dalam media.

"JKNJ ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.JKNJ memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum itu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia kira-kira 7 pagi Isnin, disyaki mengalami simptom strok haba.

Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak keduanya Airiel Syahren disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat 'septic shock secondary to meningoencephalitis' di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Katanya, anak kedua daripada empat beradik itu, mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau, kira-kira 10 malam, Ahad lalu.