Hias kereta guna Jalur Gemilang, belon bawa tuah

Kenderaan seorang petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang dihiasi dengan Jalur Gemilang pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat Bernama di Wisma Bernama.
Kenderaan seorang petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang dihiasi dengan Jalur Gemilang pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat Bernama di Wisma Bernama.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Petugas di Bahagian Strategik Korporat, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) tidak menyangka usahanya selama dua hari menghias keretanya dengan belon dan Jalur Gemilang membawa tuah apabila dipilih pemenang Pertandingan Kereta Berhias sempena Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Bernama.

Abdul Azim Abd Rahman, 31, berkata selain menggantung Jalur Gemilang dan logo Hari Kebangsaan pada kenderaannya, belon pelbagai bentuk dan warna yang menonjolkan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' telah memikat hati juri untuk memilih keretanya sebagai pemenang.

"Saya terdetik untuk menghias kenderaan dengan belon apabila sering melihat orang ramai menggunakannya untuk sambutan majlis hari jadi, jadi saya pun nak menggunakan konsep sama.

"Tidak sangka pula ia menarik perhatian juri kerana hiasan kenderaan lain pun cantik...berbaloi dengan usaha keras saya meluangkan masa dua hari dan membelanjakan kira-kira RM150 untuk membeli dan menyusun aturkan barangan hiasan," katanya selepas sambutan itu di pekarangan Wisma Bernama di sini pada Selasa.

Kakitangan Bahagian Pembangunan Latihan Bernama Safiah Nawawi pula dipilih sebagai pemenang pertandingan pakaian terbaik.

Majlis sambutan dirasmikan Pengerusi Bernama Senator Datuk Ras Adiba Radzi. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutifnya Roslan Ariffin.

Sementara itu, Ras Adiba berkata, pertandingan berkenaan adalah antara pengisian yang diatur pihak pengurusan Bernama untuk menyemarakkan semangat patriotisme, kemerdekaan dan cintakan negara dalam kalangan warga agensi berkenaan.

Katanya sebelum ini, inisiatif seperti menghias pekarangan bangunan dan Jalan Bernama dengan Jalur Gemilang, memperdengarkan lagu patriotisme, menghias ruang pejabat dengan elemen-elemen cintakan negara dan mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai di Pasar Seni, Kuala Lumpur turut diadakan.

"Setelah dua tahun melalui tempoh sukar akibat pandemik Covid-19, kali ini sambutan Hari Kebangsaan Bernama berlangsung dalam suasana berbeza seperti satu majlis kesyukuran.
Artikel Berkaitan:


"Selain mengingatkan kita betapa sukarnya pengorbanan generasi terdahulu dalam mencapai kemerdekaan, ia menampakkan kita rindukan satu lama lain untuk menyambut kemerdekaan. Jadi harapan saya, teruslah kita bersatu hati dan teguh ke hadapan," katanya. - Bernama.