Maritim tumpas sindiket seleweng diesel di perairan Melaka

No Image Caption
A
A
A

ALOR GAJAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak diesel di perairan Melaka, melibatkan rampasan kira-kira 130,000 liter pada 25 Ogos lepas.

Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, tujuh individu ditahan dalam operasi khas 12.30 tengah hari di kedudukan 0.5 batu nautika Barat Laut Pulau Upeh.

Menurutnya, mereka yang ditahan termasuk dua penjaga tongkang serta pemandu dan kelindan lori tangki warga tempatan, berumur lingkungan 31 hingga 59 tahun.

"Serbuan hasil maklumat aduan awam itu telah membawa kepada penahanan tongkang OCEANLINK235 yang telah diubah suai menjadi tangki penyimpanan minyak di perairan Melaka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iskandar berkata, ketika pemeriksaan terdapat empat lori tangki di darat dan satu daripadanya sedang mengepam masuk minyak dipercayai jenis diesel Euro 5 ke dalam tongkang tersebut.

Beliau berkata, diesel itu dipercayai dibeli dari depoh minyak dengan harga RM3.83 seliter dan dibawa keluar dengan lori serta kemudian disimpan dalam tongkang yang telah diubah suai menjadi tangki penyimpanan.

"Anggaran keseluruhan jumlah rampasan minyak diesel dan tongkang itu adalah kira-kira RM600,000 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Kesemua lori tangki dan suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat APMM Melaka dan Negeri Sembilan dan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan dan meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam. - Bernama

Artikel Berkaitan: