Batu Puteh: Laporan akhir dibentang September

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan akhir Pasukan Petugas Khas (PPK) Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentangkan kepada jemaah menteri pada September depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Selasa menerima laporan akhir setebal hampir 500 muka surat itu daripada bekas Peguam Negara yang juga Pengerusi PPK, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Wan Junaidi berkata, laporan akhir itu bersifat bebas berasaskan pandangan dan pendapat pakar hasil analisis, penelitian serta pemerhatian PPK sepanjang hampir sembilan bulan tempoh pelaksanaan iaitu mulai 9 November 2021 hingga 30 Ogos 2022.

"Syor opsyen terbaik kerajaan mengenai hala tuju berhubung kes berkenaan yang dijelaskan melalui laporan khas ini adalah susulan keputusan kerajaan pada 2018 untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2008.

"Pelaksanaan PPK ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

"Lanjutan daripada ini, syor PPK akan diteliti secara mendalam dan terperinci daripada semua aspek supaya sebarang tindakan susulan kerajaan berkaitan isu ini memberikan impak positif kepada negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Untuk rekod, pada 9 Oktober lalu, kabinet memutuskan untuk menubuhkan PPK bertujuan menyemak semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh.

Usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Batu Puteh.

Artikel Berkaitan: