Lelaki ditahan ubah suai lori, seludup diesel

Lori yang diubahsuai disyaki untuk tujuan penyeludupan diesel. - Foto KPDNHEP
Lori yang diubahsuai disyaki untuk tujuan penyeludupan diesel. - Foto KPDNHEP
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan pada Isnin menahan seorang lelaki kerana disyaki mengubah suai lori untuk tujuan penyeludupan diesel.

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan ketika sepasukan pegawai penguat kuasa menjalankan Ops Bersepadu Cegah Ketirisan Barang Kawalan bersama Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan polis Tumpat.

Menurutnya, pasukan operasi mengekori lori Isuzu yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan itu kira-kira jam 12 tengah hari hingga tiba di hadapan stor kayu Pulau Ular, Pengkalan Kubor, Tumpat.

"Kenderaan itu didapati kerap melakukan beberapa pengisian diesel di stesen minyak di sekitar Tunjung, Kota Bharu, sekitar Pengkalan Kubor dan Chabang Empat Tumpat sebelum masuk ke pangkalan haram melalui jalan Pengkalan Kubor,," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 186 liter minyak diesel bernilai RM399.90 dalam tangki lori tersebut.

Aswadi berkata, suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dan kesemua rampasan disita termasuk lori bernilai RM50,000.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel Berkaitan: