‘Tengku’ didakwa 10 tuduhan tipu RM201,000

Mazlan (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk berdepan 10 tuduhan menipu.
Mazlan (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk berdepan 10 tuduhan menipu.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang peniaga dalam talian yang menyamar sebagai tengku dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa atas 10 pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan wang tunai berjumlah RM201,000.

Tertuduh, Mazlan Ahmad, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Berdasarkan pertuduhan pertama sehingga ke-10, tertuduh didakwa menipu Syed Syarif Syed Abdullah, 23, dengan menyamar sebagai Tengku Dani Shah hingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM201,000.

Keseluruhan wang tersebut didakwa diserahkan oleh mangsa yang juga peniaga dalam talian itu ke akaun Hong Leong Bank milik Mohd Razalan Ishak, 36, di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang antara 31 Mei sehingga 29 Julai tahun lalu.

Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya, Nur Akmal Mohd Bakri manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Mohd Ikram Wan Ibrahim.

Pada prosiding itu, Nur Akmal mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan waran tangkap sudah dikeluarkan terhadap tertuduh sebelum dia dibawa ke mahkamah.

Wan Mohd Ikram bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana tertuduh yang masih bujang itu hanya berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan dan perlu menyara ibu bapanya.

Artikel Berkaitan:

“Tertuduh berasal dari Johor dan memberikan kerjasama dengan menyerah diri di Balai Polis Kuala Sedili, Kota Tinggi Isnin dan dibawa ke mahkamah pada Selasa.

“Kaedah pengadilan iaitu seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah masih terpakai terhadap tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan empat penjamin dan menetapkan 28 September depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan demi membuktikan kasih sayang kepada pasangan, seorang lelaki kerugian sejumlah barang kemas milik ibunya yang bernilai RM370,000 serta wang sebanyak RM201,000.

Mangsa turut diugut akan disebarkan video bogel oleh ‘teman lelakinya’ yang kononnya seorang kerabat istana.